Edited by maklukpenggoda at 10-12-2024 01:40 PM
KUALA LUMPUR: Pahang dan Johor diramal antara tujuh negeri yang dijangka terjejas teruk melalui gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun kesiapsiagaan melalui pengagihan aset dan pegawai sudah mula diatur serta digerakkan ke kawasan berkenaan.
"Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan gelombang kedua mulai esok dan ini akan berjalan hingga 14 Disember ini.
"Kita harap tidak terjadi sebagaimana gelombang pertama, namun mungkin membabitkan Pahang dan Johor dengan lebih berat. Selain itu, hujung bulan ini hingga Mac gelombang banjir di kawasan sana (Sabah dan Sarawak).
"Namun kesiapsiagaan membabitkan aset, anggota, pegawai dan peralatan mula digerakkan," katanya kepada pemberita selepas pelepasan sukarelawan skuad misi bantuan banjir, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan tujuh negeri bermula esok sehingga 11 Disember ini.
Terdahulu, METMalaysia memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku esok di lima negeri termasuk di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Kelantan dan Terengganu.
Amaran sama diramal berlaku pada 9 Disember ini membabitkan negeri Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Sebelum ini, Ketua Pengarah METMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata luruan monsun dijangka berlaku bermula esok sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.
Katanya, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu diramalkan turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharap dapat melakukan penyelarasan terhadap usaha dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 222,000 mangsa banjir di seluruh negara berjaya disantuni dan dibantu dalam mengurangkan beban mereka berdepan bencana alam itu.
BH
Pada Isnin lepas, MetMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Dis ini di timur Semenanjung dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh berkenaan.
TUMPAT, 6 Dis (Bernama) -- Segala persiapan keanggotaan dan aset bagi menghadapi gelombang kedua banjir adalah sama seperti gelombang pertama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata strategi yang sama juga dilaksanakan iaitu memberi keutamaan pada menyelamatkan nyawa dan harta benda.
"Seluruh persiapan kita menghadapi gelombang kedua dan tahap siap siaga itu dikekalkan dan kita berharap prestasi yang serupa digerakkan.
"Pemindahan mangsa-mangsa di PPS (pusat pemindahan sementara) adalah keutamaan kita dan dalam tempoh itu kerajaan juga merekodkan infrastruktur yang rosak akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, di sini hari ini.
Diminta mengulas mengenai operasi pembersihan infrastruktur yang terjejas banjir, Saifuddin Nasution berkata perkara itu akan dilakukan secara berperingkat.
"Tadi dalam mesyuarat jemaaah menteri yang dipengerusikan TPM (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah memberikan pembentangan tentang strategi pascabanjr dan diberikan langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah skuad sukarelawan MADANI di bawah seliaan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar).
"Di pihak kementerian saya mengerahkan untuk menggunakan seluruh aset pasukan polis bagi menumpukan gerak kerja pembersihan," katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai larangan rentas sempadan yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thalland khususnya Sungai Golok yang berkuat kuasa 1 Dis lepas, beliau berkata kerajaan meneruskan perkara berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata tiada bantahan diterima daripada mana-mana pihak berhubung larangan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang tidak lagi membolehkan rakyat Malaysia melalui pangkalan haram.
Diminta mengulas mengenai beberapa suspek warga Malaysia terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan susulan tangkapan dua rakyat negara ini di Thailand, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.
Bernama
|