LAPORAN: Ruddy menunjukkan laporan polis yang dibuat.
KOTA KINABALU: Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pemilik akaun dalam TikTok dan Facebook kerana membuat fitnah dengan niat jahat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, tindakan itu akan dilakukan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik video dengan kenyataan fitnah membabitkan skandal rasuah, pecah amanah dan isu tanah.
"Kali ini saya difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui media sosial TikTok yang telah dimuat naik beberapa hari lalu.
"Dalam video itu, ia melibatkan saya dan dua lagi rakan dengan mengaitkan rasuah dan pecah tanah melibatkan isu tanah.
"Untuk makluman semua, saya tidak pernah berhubung dengan Datuk James Ratib, kami tidak pernah bercerita pun apa-apa berkaitan tanah.
"Saya juga tidak pernah berjumpa dengan Datuk Ghani untuk berbincang pasal tanah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau terkejut dengan suntingan video dan kenyataan dalam media sosial berkenaan yang disifatkan satu cubaan untuk menjatuhkan imej pemimpin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Oleh yang demikian katanya, satu laporan polis telah dilakukan beberapa hari lalu berkenaan dengan perkara ini.
"Saya berjanji sekiranya pasukan polis berjaya mengesan para pemilik akaun media sosial ini, saya akan bawa mereka ke muka pengadilan, saya akan saman mereka.
"Sebagai wakil rakyat, kami bersedia dengan apa juga ancaman, dengan apa-apa juga tuduhan fitnah...saya juga telah jelaskan kepada pihak polis dan kemudian saya sendiri hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya mahu mereka mengetahui lebih awal mengenai perkara ini," katanya.
Beliau mencabar pihak pembangkang yang membuat fitnah datang ke Pitas untuk berdebat.
"Saya tidak takut kerana rakyat bersama saya, rakyat saya sekarang pun sangat marah dengan perkara ini.
"Rakyat Pitas juga boleh memberikan jaminan bahawa saya tidak pernah merampas tanah mereka, buktikan saya ada melakukan salah laku dalam isu tanah," katanya.
|