Edited by maklukpenggoda at 18-9-2024 01:16 AM
DAKWAAN segelintir pihak yang menyatakan penggunaan teknologi generasi kelima (5G), yang akan diperkenalkan di Malaysia tahun ini, boleh menjejaskan kesihatan adalah tidak benar, kata pakar.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Tharek.
Abdul Rahman berkata teknologi itu menggunakan frekuensi radio yang tidak menghasilkan sinaran berbahaya seperti dihasilkan sinar X.
"Orang ramai perlu faham bahawa radiasi ada dua jenis iaitu jenis mengion dan tidak mengion, yang boleh menyebabkan kanser adalah jenis mengion seperti sinar X dan radio aktif.
"Sinaran tak mengion dihasilkan 5G hanya akan menyebabkan kesan pemanasan yang tidak cukup untuk memberi kesan jangka panjang kepada tisu-tisu badan, " katanya kepada Bernama.
Menjelas lanjut, Tharek berkata frekuensi radio yang dihasilkan teknologi 5G juga mempunyai tenaga 1,000 kali lebih rendah berbanding tenaga daripada matahari.
"Tenaga daripada matahari adalah dalam kategori selamat kerana ia radiasi tidak mengion, 5G pula 1,000 kali lebih rendah menunjukkan ia radiasi selamat.
"Berdasarkan laporan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), lebih 25,000 artikel penyelidikan di seluruh dunia yang diterbitkan dalam tempoh 30 tahun menunjukkan pendedahan kepada frekuensi radio berskala rendah atau sinaran tak mengion tidak memberi impak negatif kepada kesihatan manusia," katanya.
|