Wanita UMNO ingatkan Teresa jangan campuri urusan agama Islam
Oleh Nur Izzati Mohamad - September 7, 2024 @ 6:38pm [email protected]
BUTTERWORTH: Wanita UMNO mengingatkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok supaya tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam terutama membabitkan pemilikan sijil halal terhadap premis perniagaan membabitkan restoran.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata pensijilan halal bukan sahaja menjamin kesucian makanan bagi umat Islam, sebaliknya ia memberi keyakinan terhadap pelanggan bukan Muslim juga untuk mendapatkan makanan yang bersih.
Sehubungan itu, katanya, Setiausaha Publisiti DAP itu perlu sedar dan lebih beradab sebelum mempertikaikan kepentingan pensijilan halal.
"Kenyataan Teresa yang mendakwa urusan mendapatkan pensijilan halal akan membebankan peniaga hanya dilihat dari perspektif kecil dan komersial semata-mata.
"Sedangkan dengan pemilikan sijil halal sebenarnya akan memberi lebih banyak kesan positif terhadap perniagaan kerana makanan yang disediakan akan diyakini pelanggan termasuk individu bukan Islam.
"Berikutan itu, Teresa perlu berhenti mencampuri hal berkaitan agama Islam, tolong hormati dan lebih sensitif sebelum membicarakan perkara serta urusan berkaitan agama Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, tiada apa yang perlu dimalukan sekiranya semua restoran dan pemilik perniagaan diwajibkan mendapatkan sijil halal.
"Ini kerana ia membawa impak yang lebih baik di mata dunia terhadap langkah memantapkan lagi industri halal di negara ini.
"Usaha yang dilakukan ini adalah hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahu melihat industri halal terus berkembang dan menjadi pemacu utama ekonomi negara dan bukannya bebanan," katanya.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun Teresa mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Tambahnya lagi, ia berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295443/wanita-umno-ingatkan-teresa-jangan-campuri-urusan-agama-islam
|