|
BEIJING – Seorang bapa di Foshan, wilayah Guangdong tergamak menggunakan tiga anaknya yang masih kecil untuk memujuk isterinya dengan menyuruh mereka melutut di tengah jalan, lapor laman berita South China Morning Post.
Kejadian berlaku pada 15 Ogos lalu apabila kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun itu disuruh oleh si bapa bernama Ling, melutut di tengah jalan yang sibuk.
Seorang anggota polis yang sedang meronda di kawasan itu kemudian melihat mereka sebelum membawa kanak-kanak berkenaan ke tepi jalan.
Ketika perbuatan itu dilakukan, Ling hanya duduk di tepi jalan sambil memerhatikan ketiga-tiga anaknya.
Kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut laporan akhbar Southern Metropolis Daily, Ling, 30, mahu memujuk isterinya kembali kepadanya selepas wanita tersebut mahu berpisah dengannya.
Disebabkan terdesak untuk memujuk isterinya, Ling menggunakan anak-anak mereka bagi melembutkan hati wanita itu.
Ling tidak dikenakan sebarang hukuman, sebaliknya hanya diberikan amaran oleh polis berkenaan.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen dengan ramai yang mengecam tindakan Ling.
“Menggunakan anak-anak sebagai ‘umpan’ seperti ini merupakan tindakan mendera kanak-kanak dan melanggar hak anak-anak atas keselamatan peribadi,” kata seorang netizen.
“Sungguh memalukan apabila seorang bapa tidak tahu cara-cara untuk menyayangi dan melindungi anaknya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE. |
|