BUTTERWORTH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kilang pembuatan di Perai, di sini membuat siasatan dalaman dan membentangkan kes kemalangan maut seorang pekerja lelaki apabila terjatuh dari jentera skylift pada ketinggian 5.2 meter (m), Khamis lalu.
Dalam insiden jam 2.15 petang itu, mangsa warga asing berusia 21 tahun dikejarkan ke hospital berikutan kecederaan parah dialaminya dan dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan.
Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan susulan kematian mangsa pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang terbabit sehingga siasatan selesai dijalankan.
Katanya, pihak jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP.
"Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil," katanya.
Terdahulu, mangsa yang juga pekerja kontraktor dilantik oleh kilang terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan tangga bagi kawasan naik taraf bangunan di kilang berkenaan.
Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan naik ke platform setinggi 5.2m menggunakan skylift untuk mengetat skru di kawasan itu, bagaimanapun dia dipercayai tergelincir ketika menjalankan kerja terbabit lalu terjatuh ke lantai.
Menurut kenyataan itu lagi, setiap majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja selaras dengan Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Semua majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja yang mana mereka perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.
"Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor, di samping sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini," katanya.