Alor Setar: Seramai 944 penumpang feri di Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi, meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing pada pelayaran pertama pagi ini.
Penumpang itu turut membabitkan beberapa pelancong yang terkandas selepas lapan trip perjalanan feri membabitkan Langkawi dibatalkan susulan ombak besar setinggi kira-kira empat meter (m), semalam.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, setakat ini, seramai 109 penumpang berlepas dari Kuala Perlis, 7 pagi tadi dan dari Langkawi ke Kuala Perlis pula, feri membawa 276 penumpang berlepas jam 7.30 pagi.
Beliau berkata, dua trip perjalanan iaitu masing-masing dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah masih dalam pelayaran.
"Setakat pagi ini, keadaan ombak di Kuala Perlis dalam keadaan normal, manakala di perairan Kuala Kedah pula sedikit beralun tetapi tidak mengakibatkan ombak yang kuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Baharin berkata, bagaimanapun pihaknya belum dapat memastikan jadual perjalanan feri dari Kuala Kedah dan Langkawi untuk hari ini dapat bergerak seperti biasa atau sebaliknya kerana ia bergantung pada keadaan ombak serta cuaca.
Media sebelum ini melaporkan, 808 penumpang feri dari Kuala Kedah, Langkawi dan Kuala Perlis, Sabtu lalu, terkandas akibat cuaca buruk yang mengakibatkan ombak setinggi empat m.
Selain itu, lapan trip feri ke Kuala Kedah dan Langkawi dibatalkan semalam akibat kejadian sama, malah sebuah daripada feri yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik.
Keadaan itu menyebabkan 1,900 penumpang di Kuala Kedah dan Langkawi terkandas, semalam.