Kawasan Pantai Chenang, Langkawi, lokasi seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas petang tadi selepas menyambut hari lahir adiknya. - Foto ihsan pembaca
LANGKAWI: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya di Pantai Chenang di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata Muhammad Izzham Hakimie Azizi dilaporkan hilang pada jam 2.45 petang.
"Polis menerima maklumat mengenai kejadian seorang remaja lelaki hilang di pantai pada 3.05 petang. Mangsa dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya daripada lemas," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan sejak laporan diterima.
Katanya, sebelum kejadian mangsa bersama tiga ahli keluarga iaitu abang ipar, kakak dan adik perempuannya serta lima rakan ke pantai itu untuk menyambut hari lahir adik perempuannya pada jam 2 petang.
"Selepas menyambut hari lahir, mangsa bersama adik perempuannya dan dua rakan lelaki turun ke pantai untuk mandi," katanya.
Shariman berkata beberapa minit kemudian saksi kejadian yang juga kakak dan abang ipar mangsa memberitahu mereka melihat dua orang terapung dipercayai hampir lemas di tepi laut.
"Pada masa sama, mangsa dilihat sedang berusaha menyelamatkan adik perempuannya, yang juga antara mangsa hampir lemas sebelum hilang dan tidak dijumpai sehingga kini.
"Keseluruhan mangsa dalam kejadian itu adalah empat orang, dengan tiga daripadanya berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan," katanya.
Shariman berkata usaha mencari mangsa masih dijalankan membabitkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.