GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyelar permohonan maaf yang dilakukan oleh
George Town Festival 2024 dengan mendakwa ia dilakukan secara tidak bersungguh-sungguh.
Beliau berkata demikian dalam aplikasi TikToknya dengan menggunakan loghat utara pada Selasa.
Menurut Syerleena, George Town Festival 2024 cuai dalam menjaga sensitiviti masyarakat dengan mengambil cara yang mudah.
"Pulau Pinang patut tunjuk contoh macam mana sebuah negeri yang berbilang kaum boleh meraikan kepelbagaian.
"Tapi itu lah, kadang-kadang kita ni, suka ambil cara yang mudah dan cuai dalam menjaga sensitiviti masyarakat. Dah la buat silap, tulis penjelasan pun tak bersungguh," katanya.
Beliau dengan nada sinis juga mempersoalkan cara penulisan kenyataan media yang dikeluarkan George Town Festival 2024 pada Selasa.
"Awat tak ada 'sub' (penyunting) Melayu ka yang nak tolong tulis kenyataan media ni? Benda-benda macam ni lah buat saya marah. Tapi bukan apa, sebagai anak Melayu Pulau Pinang, saya rasa tak sepatutnya macam tu.
"Kalau saya tak buat teguran keras terhadap kecuaian pihak berkenaan dalam isu George Town Festival ni, bukan sedikit perasaan yang tergores, saya rasa macam kena tikam tau, di ulu hati.
"Apa yang susah sangat untuk bekerja secara insklusif dan menggunakan akal fikiran yang waras," tambahnya.
Syerleena berkata, tindakan tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang dilihat tidak sepatutnya berlaku dan tidak masuk akal.
"Benda macam ni tak masuk akal lah, jadi saya harap supaya ada usaha untuk memperbetulkan keadaan.
"Perlu ada ketegasan dalam menangani masalah perkauman yang sempit," tambahnya lagi.
Syerleena turut berpesan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan agar berjumpa dengannya pada bila-bila masa.
"Macam ni lah, mai (datang) ketuk pintu pejabat chek (saya), kalau hangpa (kamu) perlukan bantuan. Senang kan?
"Jangan lupa, Malaysia kan milik kita bersama, maka sama-sama kita kena pakat jaga," katanya lagi.
Pada Selasa, Pasukan George Town Festival 2024 memadam klip video 'teaser' berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival.
Dalam satu kenyataannya, tindakan tersebut dibuat untuk mengurangkan salah faham dalam kalangan orang ramai.
Pasukan itu juga memohon maaf di atas salah faham yang berlaku.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) meminta Kerajaan Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated bertindak dengan penuh tanggungjawab berhubung perkara itu.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, klip video bertemakan 'Here and Now' itu nyata tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.
Klip video 'teaser' itu didakwa tersebar luas dalam media sosial bagi mempromosikan 'George Town Festival' yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 28 Julai depan.