NIBONG TEBAL - Berbaki enam hari lagi sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai ini, jentera Kerajaan Perpaduan dalam usaha menyuntik motivasi kepada semua pemilih agar keluar mengundi bagi mencapai peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 65 peratus.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bagaimanapun berharap peratusan keluar mengundi dalam PRK itu melepasi 65 peratus, berbanding beberapa PRK sebelum ini termasuk PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor pada 11 Mei lepas yang mencatat sekitar 62 hingga 63 peratus.
"Sebenarnya angka 65 peratus itu angka yang tinggi, ramai yang tidak sedar dan kita selalu membandingkan angka peratusan keluar mengundi sekarang dengan angka peratusan keluar mengundi sebelum pendaftaran automatik dibenarkan (pendaftaran automatik sebagai pengundi kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas).
Nancy pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kumpulan Sasar KPWKM yang diadakan di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Sungai Kechil pada Ahad. Foto Bernama
"Angka dulu dalam 70 peratus... jumlah pengundinya lebih kecil, tetapi sekarang sebab setiap rakyat yang berumur 18 tahun ke atas layak mengundi, jumlah pengundi itu lebih besar dan angka 65 peratus itu sebenarnya dah baik pada pandangan saya,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Bersama Wanita India Taman Puteri Gunong di sini pada Ahad.
Pengarah Pilihan Raya Perpaduan itu berkata, peratusan keluar mengundi menjadi faktor kemenangan seseorang calon dalam PRK, termasuk PRK DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Terdahulu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menjelaskan dan menjawab beberapa soalan daripada pengundi-pengundi India mengenai isu pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, harga beras dan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Beliau juga berkata, Kerajaan Perpaduan sedang bertungkus-lumus dan berjanji untuk menjaga kebajikan semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum khususnya yang berpendapatan rendah dan B40.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam program berasingan berkata, peranan golongan wanita dilihat amat penting dalam menyampaikan maklumat dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya menjelang PRK DUN Sungai Bakap.
Menurut beliau, ini kerana sifat yang dimiliki oleh golongan wanita menyebabkan mereka lebih mudah didekati dan beramah mesra dengan masyarakat.
"Sebenarnya wanita ini memainkan peranan begitu kritikal sekali untuk apa saja, terutama dalam memenangi satu-satu pilihan raya kerana mereka kalau orang kata masuk ke rumah orang berkempen, sehingga ke pintu dapur kerana begitu mesra sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Replika Cek, Sijil dan Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini pada Ahad.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional Abidin Ismail yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama