NIBONG TEBAL: Keadaan cuaca pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, di sini, esok, diramal hujan pada sebelah pagi dan petang.
Menurut laman sesawang Jabatan Meterorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, cuaca diramalkan baik dan tiada hujan pada sebelah malamnya.
MetMalaysia dalam hantaran di laman Facebook mengingatkan mereka yang terbabit dengan proses penamaan calon esok supaya merancang perjalanan mereka dengan sebaiknya.
Proses penamaan calon PRK Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, di sini, akan bermula pada jam 9 pagi esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing esok dan 2 Julai.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu. – BERNAMA