Butterworth: Seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima wang suapan berjumlah RM40,000 pada 2018.
Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Ameyrudin Ahmad Zuki, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah juga memerintahkan Ameyrudin dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh telah menerima untuk dirinya sendiri wang tunai berjumlah RM40,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Tertuduh pada ketika itu bertugas di Jabatan Siasatan Perundangan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Seberang Perai Tengah didapati melakukan kesalahan tersebut di lot parkir Restoran Midtown Perda, Bukit Mertajam pada 3 Ogos 2018, kira-kira jam 1 tengah hari.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziah Mohaide dan tertuduh diwakiki peguam, Y Yogeswaran.
Terdahulu, Maziah memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain menyifatkan kesalahan itu telah memberi imej buruk bukan sahaja kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah memberi tanggapan negatif terhadap pegawai penguatkuasa.
Pihak pendakwaan turut memohon wang tunai berjumlah RM20,000 yang disita selepas dirampas sebagai barang bukti dilucutkan di bawah Seksyen Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM 2009 kepada Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Yogeswaran memohon hukuman denda minimum memandangkan anak guamnya kini tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan selain perlu menanggung tiga anak yang kesemuanya masih bersekolah.
Katanya, tertuduh turut perlu menjaga ibunya yang berusia 80 tahun dan berada dalam keadaan uzur.
"Tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ini merupakan kesalahan pertama dilakukannya. Dia telah insaf selain pernah ditahan reman sebelum ini," katanya.
Difahamkan tertuduh telah membayar denda tersebut.
Sementara itu, usaha pemberita merakam foto tertuduh yang hadir sendiri ke mahkamah dengan memakai baju kemeja biru muda serta pelitup muka berwarna hitam tidak berhasil apabila dia menghilangkan diri sebaik sahaja prosiding mahkamah selesai.
Beberapa orang individu turut dilihat mundar-mandir di perkarangan mahkamah dipercayai 'mengiringi' tertuduh dengan menaiki beberapa kenderaan.