Georgetown: Mekanik yang ditahan kerana menikam tunang kepada bekas isterinya di Taman Jade, Bukit Gambir di sini, pada 10 Jun lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cubaan bunuh.
"Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian 6 pagi itu, suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa bagi mengambil anak yang tinggal bersama bekas isterinya.
Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara lelaki berkenaan dengan bekas isterinya apabila wanita itu enggan mengikut suspek bersama sebelum dia cuba menikam menggunakan sebilah pisau.
Mangsa berusia 43 tahun yang juga pemandu bas itu dikatakan ditikam menggunakan pisau lipat ketika cuba menyelamatkan tunangnya daripada dicederakan suspek.
Mangsa dikatakan cuba menghalang tindakan suspek sebelum tikaman itu terkena pada bahagian dada, leher dan belakang badan.