Kuala Nerang: Dua unit bilik di aras tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang musnah dalam kebakaran hari ini.
Bagaimanapun tiada pelajar berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 7.37 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota seramai 11 orang dari BBP Kuala Nerang yang tiba di lokasi untuk memadam kebakaran yang berlaku.
"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan dua bilik asrama sekolah berkenaan iaitu bilik penyimpanan barang stor dan bilik air kelas A.
"Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus dan tidak membabitkan mangsa.
"Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Pokok Sena dan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata, api berjaya dikawal pada jam 7.55 pagi.
Beliau berkata, setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan oleh Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.