GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8(1) yang mewajibkan peniaga mempamer tanda harga pada barangan bagi dijual.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata tinjauan CAP di seluruh Pulau Pinang mendedahkan ketidakpatuhan yang meluas terhadap keperluan itu.
Katanya, ia berlaku dalam kalangan pelbagai jenis penjual termasuk gerai makanan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit.
"Kesalahan utama yang dikenal pasti ialah gerai jualan makanan dan minuman tanpa sebarang tanda harga yang boleh dilihat, diikuti dengan restoran yang sama ada kemas kini harga atau beri maklumat mengelirukan kepada pengguna.
"Ketiadaan tanda harga telus ini sering menyebabkan pengguna dikenakan bayaran berlebihan kerana tidak mempunyai senarai harga yang didokumenkan bagi dirujuk apabila berlaku pertikaian berhubung bil mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, tambahan pula kenaikan harga diesel baru-baru ini berpotensi membawa kepada kos makanan lebih tinggi, menjadikannya lebih penting bagi pengguna untuk dimaklumkan mengenai harga lebih awal.
Katanya, mengikut Akta Kawalan Harga, adalah menjadi tanggungjawab penjual bagi memastikan pembeli dimaklumkan mengenai harga tetapi penguatkuasaan yang tidak mencukupi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan undang-undang.
"Oleh sebab itu, kami menggesa supaya pihak Kementerian mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973.
"CAP juga menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat dan pendakwaan terhadap semua pesalah demi menjaga hak pengguna dan memastikan amalan perdagangan yang adil," katanya.