|
GUARDIOLA masih belum menyatakan persetujuan untuk kekal di Etihad ketika kontraknya memasuki tahun terakhir. - AFP
MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola masih belum memberikan kata putus berhubung masa depannya di Stadium Etihad apabila bakal memasuki 12 bulan terakhir kontrak.
Jika kontraknya tidak disambung, kempen 2024/25 akan menjadi musim terakhirnya bersama The Citizens, sekali gus menjadi episod penamat sejak dilantik sebagai pengendali City pada 2016.
Pada ketika ini, belum ada sebarang perbincangan dilakukan antara Guardiola dan kelab memandangkan pihak pengurusan mahu memberikan masa buat jurulatih dari Sepanyol itu untuk membuat penilaian sebaiknya.
Difahamkan, pengurusan City diselubungi rasa bimbang memandangkan Guardiola sudah mula memberi bayangan untuk meninggalkan pasukan itu apabila menganggap masanya di Etihad sudah hampir ke penghujung.
Bagaimanapun, bekas pengendali Barcelona itu memberi jaminan bahawa beliau akan terus membimbing City musim depan, namun belum pasti sama ada untuk meneruskan tugas sebagai pengurus sebaik sahaja kempen 2024/25 berakhir.
Antara nama yang mula disebut-sebut bakal menggantikan Guardiola adalah jurulatih Girona, Michel, Xabi Alonso (Bayer Leverkusen) serta pengendali skuad kebangsaan Jerman, Julian Nagelsmann.
Sebagai rekod, Guardiola dianggap sebagai pengurus terbaik dalam sejarah City apabila mengemudi pasukan itu memenangi 15 kejuaraan utama termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah The Citizens. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... inggalkan-man-city/ |
|