|
KLOPP kelihatan beremosi ketika berucap di Anfield. FOTO Reuters
Anfield: Jürgen Klopp mengucapkan selamat tinggal kepada Liverpool dengan menyanyikan lagu nama penggantinya Arne Slot di hadapan penyokong kelab, semalam.
Tempoh lapan setengah tahun Klopp sebagai pengurus berakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield menerusi jaringan Alexis Mac Allister dan Jarell Quansah pada babak pertama untuk kemenangan ke-305nya daripada 491 perlawanan.
Jurulatih Feyenoord Slot mengesahkan Jumaat lalu dia akan menggantikan Klopp di Anfield musim depan.
Selepas Klopp dihadiahkan beberapa trofi mini yang menggambarkan kejayaannya sejak mengambil alih tugas pada Oktober 2015, dia meminta penyokong Liverpool mengikutinya menyanyikan nama Slot.
"Pengurus baharu, saya mahu anda nyanyikan namanya," kata Klopp. "Arne Slot, na na na na na! Apabila musim depan bermula, terus memecut dengan pengurus baharu. Apabila anda bermula, teruskan percaya, jangan hentikan kepercayaan.
"Saya lihat ramai orang menangis. Sama seperti saya tetapi perubahan itu perlu dan bagus. Jika anda pergi dengan sikap yang betul semuanya akan berjalan lancar.
"Ia perjalanan panjang bersama kelab ini dan ada masanya ia tegang. Saya juga berdepan detik buruk tetapi bukan hari ini. Saya bersyukur dengan apa yang berlaku.
"Sekarang saya berdiri di sini. Saya sangat gembira menjadi sebahagian sejarah kelab, ia sangat indah."
Liverpool menang setiap kejohanan utama di bawah Klopp dan meraih gelaran Liga Perdana Inggeris 2019-20 yang menamatkan kemarau 30 tahun kelab untuk menjadi juara England.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... apan-terakhir-klopp |
|