|
Mazlinda (tengah) serta dua rakanya Najwa (kiri) dan Nurul Asyikin antara anggota APM wanita yang bertugas dalam operasi memadamkan kebakaran tanah gambut di Kampung Batu Karang, di sini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA.
Pasir Mas: Tanpa menghiraukan panas dan bahaya, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) wanita lincah membantu memadamkan kebakaran hutan gambut.
Mereka adalah Mazlinda Sharizma Mokhtar, 38, serta dua rakanya, Najwa Athirah Mohd Yusof, 31, dan Nurul Asyikin Zulkiffli, 19, yang tidak kekok membantu operasi memadam kebakaran membabitkan lebih 40 hektar tanah gambut di Kampung Batu Karang di sini.
Mazlinda Sharizma berkata, mereka dibantu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lebih pakar dalam operasi berkenaan dan mengakui menerima banyak ilmu khususnya berkaitan dengan kebakaran.
"Kami terbabit dengan operasi ini sejak April lagi dan ia berterusan sehingga ke hari ini (semalam) kerana kebakaran berlaku dalam beberapa fasa. Justeru, kami juga tidak terkecuali untuk bertugas memadamkan kebakaran bersama anggota lelaki lain.
"Semua kerja yang dilakukan anggota lelaki, kami juga turut sama terbabit termasuk menggulung dan mengangkat hos pemadam api yang sangat berat. Bagaimanapun, demi tanggungjawab yang digalas, kami tetap melaksanakan tugas untuk memadamkan kebakaran daripada terus merebak.
"Apabila berada dalam tugasan, kami sudah tidak hiraukan muka yang comot, pakaian menjadi kotor atau penat yang ditanggung, mungkin kerana sudah diajar untuk kuat ketika bertugas," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hutan gambut di Kampung Batu Karang di sini, semalam.
Menurut Mazlinda Sharizma, bagaimanapun, dia berterima kasih kepada ahli pasukan serta agensi lain yang terbabit kerana sentiasa peka dan membantu anggota wanita seperti mereka, sepanjang operasi berkenaan.
Sementara itu, Najwa Athirah berkata, pengalaman memadamkan kebakaran, lebih-lebih lagi membabitkan kawasan hutan yang luas adalah suatu pengalaman baharu buatnya yang sudah tiga tahun bertugas sebagai anggota APM.
"Sebelum ini, kami lebih terdedah kepada operasi membantu dan menyelamatkan mangsa banjir dan menangkap haiwan berbisa, tetapi kali ini perlu berhadapan dengan asap tebal serta kepanasan.
"Pada awalnya, saya sendiri berasa ia tugas yang agak berat tetapi dengan bantuan rakan sepasukan, Alhamdulillah, ia dapat dilakukan dengan baik," katanya.
Operasi kebakaran kebun membabitkan hutan tanah gambut di jajahan Pasir Mas dijalankan pada April lalu selama lebih seminggu untuk fasa pertama, dan disambung bermula 16 Mei sehingga hari ini untuk fasa kedua. Ia dijalankan agensi JBPM, APM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan komuniti setempat
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... awan-api-demi-tugas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|