View: 1617|Reply: 1
|
[Tempatan]
RMR 2.0 dapat sambutan menggalakkan
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: Projek Rumah Mesra Rakyat 2.0 (RMR 2.0) mendapat sambutan menggalakkan dengan kini 191 permohonan diterima Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sejak ia diperkenalkan pada Februari lalu.
Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa, berkata bagi RMR 1.0 pihaknya menerima hampir 190,000 permohonan di seluruh negara sehingga April lalu, namun hanya dapat meluluskan kuota pembinaan sebanyak 3,500 unit untuk tahun ini, bagi melengkapi kuota 3,100 lagi unit di bawah RMR 2.0.
Namun katanya, mereka yang enggan menunggu lama untuk mendapatkan rumah dan mempunyai wang mencukupi boleh memohon RMR 2.0.
"Mereka yang mampu mengeluarkan RM55,000 boleh mendapat rumah dalam tempoh 45 hari sahaja manakala baki kos RM20,000 lagi akan ditanggung oleh kerajaan dalam bentuk subsidi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, hari ini.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Zahanuddin Kamarudin.
Husam berkata, ketika ini antara negeri yang menunjukkan minat tinggi bagi projek RMR 2.0 adalah Kelantan, Terengganu dan Johor, bagaimanapun pihaknya juga akan memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai pemohon dari Sabah dan Sarawak.
Ditanya sama ada SPNB berhasrat membina rumah bertiang tinggi di lokasi kerap banjir, beliau berkata, rumah dengan konsep sedemikian sudah lama ada.
Katanya, pemohon boleh membuat pilihan untuk menambah tiang dengan bayaran tambahan sebanyak RM2,000.
"Reka bentuk rumah RMR sangat istimewa kerana pemohon boleh membuat pilihan sama ada untuk meninggikan rumah mereka seakan dua tingkat dengan bayaran sebanyak RM2,000 untuk tiang itu.
"Selain itu, reka bentuk rumah RMR juga adalah untuk mengekalkan suhu sejuk dalam rumah berikutan siling mempunyai sistem pengudaraan dan lain-lain.
"Reka bentuk RMR ini walaupun kecil, ia memenuhi ciri Madani di mana ciri untuk perumahan ini, antaranya kenyamanan suhu dan kenyamanan bunyi," katanya.
Mengenai projek rintis pemasangan solar di RMR, katanya ketika ini ia masih di peringkat kajian dan dijangka dilancarkan tiga hingga empat bulan lagi.
Sementara itu, mengenai PKKB dan CSR hari ini, Husam berkata, ia adalah inisiatif SPNB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Coop Bank Pertama bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan membantu mengurangkan pemanasan global.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|