|
Status De Paula di media sosial yang mencetuskan tanda tanya. - Foto IG De Paula
KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula mencetuskan tanda tanya mengenai status kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
Ia susulan tulisannya di laman Instagram miliknya yang seakan memberi bayangan bahawa penyerang berusia 37 tahun itu akan bersara.
Bagaimanapun, luahan yang dibuat De Paula itu kurang jelas, sekali gus meninggalkan persoalan dalam kalangan peminat.
"Terima kasih bola sepak kerana memberikan saya rasa kasih sayang. Kepada rakan-rakan sepanjang perjalanan, terima kasih atas kesetiaan dan kasih sayang anda.
"Kepada yang mengkhianati, terima kasih juga kerana anda mengajar saya untuk menjadi lebih kuat. Saya tidak akan melupakan emosi dan pengajaran yang diberikan oleh bola sepak kepada saya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan dan ahli perniagaan Valdir, yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi, bimbingan dan persahabatan yang setia adalah asas dalam setiap langkah perjalanan profesional saya.
"Saya amat bersyukur kerana memiliki seseorang yang begitu berdedikasi dan boleh dipercayai di sisi saya," tulis De Paula.
Berdasarkan beberapa komen yang ditinggalkan peminat, ada yang mengucapkan 'selamat bersara' kepada De Paula yang pernah beraksi bersama beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M).
Antara kelab yang pernah di sertai De Paula termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) selain dia turut menyarung jersi Harimau Malaya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... bola-sepak-de-paula |
|