GEORGETOWN: Kerajaan Negeri optimis dapat mencapai sasaran untuk membina 220,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, sasaran itu selaras agenda 'Perumahan Untuk Semua' yang menjadi teras utama kerajaan negeri dalam membekalkan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat di negeri ini.
Katanya, setakat ini kemajuan agak memberangsangkan apabila 157,073 unit RMM sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan atau 71.4 peratus daripada keseluruhan yang disasarkan.
"Jumlah itu membabitkan 50,700 unit siap dibina dan 20,249 unit sedang dibina, manakala 80,124 unit lagi dalam perancangan pembinaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sundarajoo berkata, perkembangan itu dikongsikan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika mengunjungi pejabat menteri itu di Putrajaya semalam.
Rombongan turut disertai Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPPN), Ainul Fadhilah Samsudi dan Ketua Pegawai Bisnes LPPN, Fakhurrazi Ibnu Omar.
Dalam pada itu, Sundarajoo menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan berjumlah RM21.175 juta bagi pembiayaan 51 projek.
"Sebanyak RM4.98 juta peruntukan digunakan untuk 15 projek di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan bagi Perumahan Berstrata Awam, manakala RM16.19 juta lagi untuk membiayai 36 projek di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia bagi Perumahan Berstrata Swasta," katanya.
Menurut beliau, peruntukan untuk 2024 terbesar pernah diterima Pulau Pinang sejak 2020.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, lebih banyak agenda perumahan rakyat terutamanya di Pulau Pinang dapat direalisasikan secara berterusan. – BERNAMA