CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1763|Reply: 0

[Sarawak] SIP akan diperbesar untuk tarik lebih banyak pelaburan

[Copy link]
Post time 17-4-2024 10:00 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari (kanan) bersalaman dengan penduduk pelbagai kaum yang hadir pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama YAB Premier di Naim Street Mall Bintulu Paragon, hari ini.
BINTULU: Taman Perindustrian Samalaju (SIP) akan diperbesarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan pada masa hadapan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kemudahan infrastruktur di kawasan itu juga akan ditambah, termasuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik kepada 1,500 megawatt (MW) menjelang 2028.

Buat masa ini katanya, penjanaan gas turbinnya akan dinaikkan sehingga 1,000MW di bawah fasa pertama dengan pentauliahan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) pada 2028.

"Itu untuk fasa pertama penjanaannya adalah 1,000MW. Fasa kedua akan kita tauliahkan juga pada 2028 dengan tambahan 500 megawatt yang bermakna Bintulu akan menjana kuasa elektrik sehingga 1,500MW," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama YAB Premier yang dihadiri lebih 5,000 penduduk pelbagai kaum di Naim Street Mall Bintulu Paragon, hari ini.  

Hadir sama Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Residen Bintulu Nyurak Keti, ahli Lembaga Pengarah BDA dan ketua-ketua masyarakat.


Abang Johari dan Haidar (tengah) menyerahkan sumbangan raya RM5,000 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Orang Kelainan Upaya (OKU) Gemilang Jepak yang diterima pengerusinya Mohamad Zephyan Nasution Junaidi.

Abang Johari berkata, bekalan gas asli Sarawak juga berjaya ditingkatkan kepada 1,200 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) berbanding 450 mmscfd sebelum ini.

"Petronas (Petroliam Nasional Berhad) dan juga rakan kita yang lain telah dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk tujuan itu disebabkan keyakinan terhadap kerajaan kita yang mempunyai hala tuju jelas dalam membangunkan industri berteraskan gas," jelasnya.

Katanya, kerajaan Sarawak tidak hanya menumpukan kepada Bintulu, malah kawasan-kawasan lain di negeri ini akan turut menikmati kepesatan dari segi pembangunan dan penggunaan tenaga elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, Abang Johari mengemukakan idea baharunya untuk menghasilkan lebih banyak tenaga daripada sumber alam di negeri ini, antaranya penjanaan tenaga kinetik melalui alunan gelombang laut.

"Semua orang tahu mengenai gas masam, biogas dan gas tetapi saya ingin mencuba cara baharu menghasilkan tenaga menggunakan gelombang dengan percubaannya akan dilakukan di Samalaju.

"Kita ada jeti sedia ada lebih kurang panjangnya 3.5 kilometer (km), kita letakkan tenaga dengan kuasa alunan gelombang air laut, ini sebagai kaedah baharu yang tidak pernah terfikir oleh orang yang akan kita cuba laksanakan di Bintulu.


Abang Johari (empat kanan) bersama Haidar menggaul rendang daging sebagai gimik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama YAB Premier di Naim Street Mall Bintulu Paragon, hari ini.

"Sekiranya berjaya, Bintulu akan menjadi satu-satunya tempat di dunia yang menggunakan gelombang laut untuk menjana tenaga elektrik.

"Saya ingin mencuba semua termasuk menghasilkan tenaga elektrik berkonsepkan graviti kerana kita ada air, banyak sumber termasuk gelombang dan kita akan gunakan semua sumber ini untuk menjana ekonomi baharu negeri ini," katanya.

Abang Johari turut menjelaskan mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak daripada kerajaan persekutuan.

"Alhamdulilah Pelabuhan Bintulu akan balik kepada Sarawak setelah 43 tahun Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) di bawah kerajaan persekutuan.

"Selepas Jun tahun ini, undang-undang ditarik balik maka akan diserahkan kepada Sarawak untuk menguruskan Pelabuhan Bintulu.

"Saya ada rancangan untuk Pelabuhan Bintulu ini tetapi saya tidak dapat memberitahunya sekarang.

"Biar saya simpan dulu, insya-Allah apabila Pelabuhan Bintulu telah diambil alih, saya ada rancangan untuk menjadikan pelabuhan ini sebagai hab terpenting di rantau ASEAN.

"Sabar, doalah, jangan lupa doa, insya-Allah, Allah akan memberkati kita," katanya.

Oleh yang demikian, Abang Johari berkata kerjasama dan perpaduan amat penting untuk menjana pembangunan di Sarawak yang akan tertumpu di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu sehingga 2030.

"Di Miri serta Kuching ada projek besar dan di Sibu saya ingin ubah landskap bandar Sibu termasuk Bintulu dalam penyediaan kemudahan Sistem Transit Aliran Automasi (ART) yang mana kajian fasilitinya telah dilaksanakan," katanya.

BDA katanya, juga akan menggunakan teknologi terkini dalam menguruskan bahan buangan di Bintulu, justeru beliau mendoakan Sarawak terus aman dan makmur, rakyat bersatu padu tanpa mengira latar belakang bersama menjadikan Sarawak sebagai wilayah termaju di Malaysia pada 2030.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

1-5-2024 04:21 PM GMT+8 , Processed in 0.053181 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list