Edited by maklukpenggoda at 16-4-2024 08:55 AM
Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, beliau menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian Islam.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan supaya polemik yang berlaku dapat diredakan.
"Saya menjunjung titah di atas nasihat KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu dalam hantaran rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda menerima menghadap pimpinan kanan Umno dan DAP di Istana Negara.
Pemimpin yang hadir pada sesi itu ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Dr Akmal.
Dr Akmal turut mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran.
Baru-baru ini, Dr Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka itu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, sebelum ini ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sabah, oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
|