|
Gambar hiasan
Johor Bahru: Seorang pesara universiti awam di sini hilang wang persaraannya sekelip mata dan kerugian RM1.06 juta selepas tertipu dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata mangsa yang berusia 61 tahun membuat laporan polis pada 22 Mac lalu, selepas menyedari dirinya tertipu.
Katanya, mangsa melihat iklan pelaburan di laman Facebook sebelum menghubungi nombor tertera menerusi aplikasi WhatsApp, Disember lalu.
"Individu yang dihubunginya memberi penerangan mengenai pelaburan saham dagangan Spot Gold Futures XAUUSD menerusi platform Navik Capital.
"Mangsa dijanjikan pulangan antara lima hingga lapan peratus dari jumlah modal pelaburan dalam tempoh sehari dan pada setiap kali transaksi pelaburan dilakukan.
"Tertarik dan percaya dengan keuntungan segera dan lumayan dijanjikan, mangsa mengikut arahan suspek dengan membuat pembayaran berjumlah RM1.06 juta ke beberapa akaun bank.
"Menurut mangsa, pelaburannya menjana keuntungan dan ia dipaparkan dalam aplikasi pelaburan itu, namun wang keuntungan berkenaan gagal dikeluarkannya atas pelbagai alasan.
"Mangsa yang mengesyaki ditipu kemudian membuat semakan menerusi aplikasi dan portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum mendapati nombor telefon suspek mempunyai rekod penipuan pelaburan dalam sistem itu dan akhirnya membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-hilang-rm106-juta |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|