Chiew ketika mendengar taklimat dan penerangan dari kakitangan JPS Miri semasa lawatan pada Jumaat.
MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man menegaskan akan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan persekutuan dalam membantu menyelesaikan masalah banjir di Miri.
Menurut Chiew, beliau juga akan menggalakkan usaha-usaha untuk meliputi lebih banyak kawasan di Rancangan Tebatan Banjir bagi menangani masalah jangka panjang yang dihadapi oleh penduduk tempatan.
"Kami berharap dapat bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mengatasi masalah ini. Isu banjir telah menjadi bebanan yang berat bagi penduduk setempat dan tindakan berkesan perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh," jelas Chiew pada Jumaat.
Chiew menjelaskan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri untuk membincangkan isu banjir di kawasan Miri yang telah lama membimbangkan penduduk.
Beliau memberitahu, antara kawasan kerap banjir di sini ialah di Luak, Tudan dan Pujut Adong.
Chiew berkata, perjumpaan membincangkan masalah sistem perparitan dan saliran yang kurang baik yang menyebabkan kejadian banjir setiap kali hujan lebat berterusan.
"Kami telah berbincang tentang cadangan-cadangan konstruktif bagi penyelesaian masalah banjir ini. Saya juga berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini dengan lebih efektif," jelasnya.
|