CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3917|Reply: 0

[Sarawak] Lembaga pusat akan ditubuh urus semua pelabuhan Sarawak

[Copy link]
Post time 24-3-2024 07:55 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari (tiga kiri), Anwar (tengah), Fadillah (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama Loke (dua kiri) dan Uggah (dua kanan) menunjukkan dokumen MoU yang dimeterai, hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak bakal mewujudkan satu lembaga pelabuhan pusat atau 'Central Port Authority' yang akan menguruskan semua pelabuhan di bawah kerajaan negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, menerusi lembaga pelabuhan pusat itu semua pelabuhan yang ada di Sarawak seperti Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Miri, Pelabuhan Tanjung Manis dan Pelabuhan Sibu (Rajang) akan diuruskan di bawah satu bumbung.

“Ini akan kita urus bersama dengan Pelabuhan Bintulu nanti (sebaik diambil alih) di bawah satu bumbung oleh lembaga pelabuhan pusat. Ini akan memberikan impak kepada pembangunan ekonomi yang sedang berjalan di Sarawak serta ekonomi Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri yang dihadiri Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke di Kuala Lumpur, hari ini.

Pemeteraian MoU berkenaan menyaksikan kerajaan persekutuan diwakili Loke, manakala Sarawak diwakili Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut Abang Johari, pelabuhan-pelabuhan berkenaan memainkan peranan penting selaras dengan dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Mengenai penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada negeri, beliau berharap ia dapat diselesaikan dalam tahun ini.

Katanya, dengan menguruskan sendiri Pelabuhan Bintulu, ia dapat menyelaraskan sumber-sumber eksport negeri terutamanya hidrogen yang kini giat dibangunkan.

“Saya yakin bahawa dengan pengurusan di bawah kerajaan Sarawak sendiri, kita dapat menyelaraskan sumber-sumber eksport ke pelabuhan strategik dan Bintulu adalah pelabuhan strategik.

“Saya berasakan pembangunan masa depan akan bergantung kepada tenaga hijau dan kita menumpukan tenaga hijau yang akan membenarkan pelabur datang bagi produk hijau. Ini selaras dengan pembangunan yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Tambah Abang Johari, dari segi aliran trafik antara timur dan barat dan, Pelabuhan Bintulu akan memberi impak bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi juga negara secara keseluruhannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI persekutuan dan juga rakan saya dari Sarawak pada majlis MoU penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada negeri.

“Kita berharap sebelum habis tahun ini, perkara ini dapat diselesaikan dan Pelabuhan Bintulu akan diuruskan kerajaan negeri.

“Kita mempunyai beberapa pelabuhan, hanya Pelabuhan Bintulu sahaja di bawah kerajaan persekutuan disebabkan beberapa faktor dahulu ketika kita membangunkan Pelabuhan Bintulu yang ada hubung kait dengan gas asli cecair (LNG) di Bintulu,” katanya.

Objektif MoU itu adalah untuk menyelia dan melancarkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri agar peralihan tersebut dapat dimuktamadkan dalam tahun ini.

Antara langkah yang telah diambil untuk memastikan pelaksanaan berkesan dan lancar ialah tiga jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 09:45 PM GMT+8 , Processed in 0.096513 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list