Edited by maklukpenggoda at 16-3-2024 08:07 AM
Kuala Lumpur: Penerbit Datuk A Aida menyeru kerajaan agar mempraktikkan semula amalan menyenaraihitamkan selebriti bermasalah dan memalukan industri seni supaya setiap individu berwaspada dengan tindakan yang dibuat.
A Aida berkata, dia percaya langkah sedemikian akan membuatkan selebriti yang bermasalah itu berfikir panjang sebelum melakukan perkara yang menjerat diri mereka.
"Bagi saya 99 peratus orang dalam industri seni semuanya adalah baik, tapi hanya ada satu peratus saja yang bermasalah dan menjejaskan nama baik industri seni... Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jadi wajarlah individu yang bermasalah ini diberi hukuman yang setimpal," katanya kepada Harian Metro.
"Saya minta syarikat produksi untuk menyenarai hitam artis yang bermasalah seperti ditangkap khalwat atau terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Golongan artis ini seharusnya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat kerana mereka dipandang tinggi dan menjadi idola buat peminat.
"Jadi takkan artis yang bermasalah ini kita nak terus sokong. Saya masih ingat lagi sewaktu awal pembabitan saya dalam dunia seni ada beberapa artis yang disenarai hitam atau digam oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama bertahun-tahun dan tidak dibenarkan keluar TV.
Menurut A Aida, syarikat produksi miliknya sudah menyenarai hitam pelakon Ruhainies daripada terbabit dengan drama terbitannya yang bakal menjalani penggambaran April ini.
"Ketika saya mengetahui Ruhainies ada menjalin hubungan dengan Aliff Aziz di lokasi penggambaran dan dicekup berkhalwat, saya terus 'blacklist' namanya daripada terbabit dengan drama terbitan syarikat saya yang sepatutnya menjalani penggambaran April ini.
"Bagi saya, individu seperti ini layak diberi pengajaran dan tidak sepatutnya diberi ruang untuk terus berada dalam industri seni. Saya enggan virus seperti ini terus berleluasa," katanya.
Menurutnya, keputusan menyenaraihitamkan Ruhainies memberi rezeki berganda kepada isteri kepada Aliff Aziz iaitu Bella Astillah untuk terbabit dalam syarikat produksinya.
"Saya tak sanggup melihat wanita seperti dia terus dianiaya, apatah lagi ditipu hidup-hidup oleh rakan baik sendiri.
"Jadi saya terus hubunginya dan tawarkan dia untuk terbabit dalam tiga drama yang bakal saya terbitkan dalam program saluran Salam HD.
"Saya harap pertolongan ini dapat memberi sedikit kelegaan untuk Bella meneruskan kehidupan selepas ini. Dia mempunyai tanggungjawab yang berat, jadi sama-samalah kita membantunya," katanya.
|