Ketibaan Larry di Rumah Christina Kassum, Nunggang, Pakan pada Program Tuai bersama Rakyat disambut dengan penuh meriah.
JULAU: Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien memaklumkan beberapa isu dan masalah yang membelenggu rakyat di kawasan ini akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen ini.
Katanya, masalah tersebut hasil makulmat dan aduan rakyat di kawasan ini yang memohon tindakan dan penyelesaian dengan segera.
"Isu pertama ialah berkaitan bekalan air di Julau dan ia telah dibangkitkan pada persidangan Parlimen yang lalu dan kita berharap ia mendapat jawapan yang positif daripada pihak kementerian yang berkaitan.
"Masalah ini telah membelenggu penduduk di kawasan ini dan kita berharap ia dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak berwajib.
"Isu bekalan air bersih sering kali membelenggu masyarakat di kawasan luar bandar dan kita berharap perkara ini diatasi untuk keselesaan penduduk di Parlimen Julau bagi kegiatan harian mereka," kata Larry.
Beliau berkata demikian pada Program Tuai bersama Rakyat di Rumah Christina Kassum, Nunggang Pakan, baru-baru ini.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata, beliau juga akan memohon lampu jalan di Parlimen Julau.
Katanya, permohonan ini amat penting bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
"Berdasarkan pengiraan pihak kita, setakat ini terdapat hanya 95 lampu di kawasan parlimen ini dan jumlah tersebut masih lagi tidak mencukupi.
"Kita akan membuat permohonan untuk penambahan lampu ini kepada pihak berwajib dan berharap ia dapat kelulusan segera," ujar Larry.
Beliau seterusnya menyampaikan geran bantuan atap zink berjumlah RM50,000 kepada Rumah Christina Kassum, selain peruntukan RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM1,000 kepada Biro Wanita rumah panjang terbabit.
|