CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21244|Reply: 3

[Tempatan] Tukar nama terus maju kah?

[Copy link]
Post time 10-3-2024 10:11 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Saya teringat tentang satu amalan perubatan tradisional tetapi saya tak pasti apakah ada kaitan dengan budaya bangsa kita sendiri atau apakah ia ada dalam agama, iaitu menukar nama seseorang (biasanya kanak-kanak) yang sering sakit-sakit. Dikatakan nama asal yang diberi tidak serasi, terlalu berat untuk seseorang tanggung, maka atas sebab itu namanya mesti ditukar. Kerana itulah kita dapati ada orang, sampai dia dewasa, namanya dipanggil dengan nama asal tetapi di kad pengenalan namanya lain.

Tak perlu jauh pergi untuk saya memahaminya, mak saya sendiri pun begitu, nama di kad pengenalannya lain tetapi keluarga dan sanak-saudara memanggil mak dengan nama asal. Kata mak begitulah, menurut cerita orang tuanya selepas nama ditukar sakit-sakitnya pun sembuh. Wallahua’lam, tidaklah saya mahir akan bab nama serasi tak serasi ini ada kaitannya atau tidak dengan kesihatan seseorang. Sama ada kebetulan atau ada hipotesisnya, saya tak pasti dan saya serahkan kepada mereka yang lebih arif untuk menghuraikannya.

Yang saya tahu ada ‘penyakit’ yang mewabak sejak sekian lama kita di sini iaitu menukar sesuatu istilah atau sesuatu nama itu atas alasan ia akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mungkin juga pertukaran ini dibuat kerana fobia, paranoia, atau mahu ia dilihat lembut walhal ia tidak mengubah apa-apa pun. Contoh? Babi dilihat comel agaknya selepas ditukar kepada khinzir. Ada yang hanya menyebutnya ‘bab’ sahaja kerana tidak mahu menyebut penuh. Malang betul khinzir… err… babi.

Ha! Ha! Penyakit kencing manis amat menakutkan apabila kita dengar, begitu juga barah lalu kita lunakkan sedikit dengan diabetes dan kanser. Legaaaaa! Ternyata peratus penghidap penyakit kencing manis dan barah serta-merta menjadi sifar. Yang ada hanya kanser dan diabetes. Ajaib!

Masuk bab politik pula. Apabila dalam parti politik masuk budaya lobi-melobi, beli, dan bayar ahli untuk meraih undi merebut jawatan tertinggi; itu namanya rasuah. Rasuah satu jenayah tapi… kita alih kepada istilah ‘politik wang’. Kan lunak tu?

Begitu juga dengan nama-nama jalan di ibu kota yang ditukar tetapi masalah kesesakan lalu lintasnya bukan sahaja tidak pernah selesai malahan menjadi makin teruk. Makin semak, sesak, dan santak! Saya berpendirian bukanlah tidak boleh tukar nama jalan, boleh! Kalau nama-nama jalan yang ada bau-bau penjajah itu hendak ditukar kepada nama-nama tokoh negara saya rasa itu bagus, itu lebih patriotik. Tetapi saya pasti mesti ada pihak yang menentang kerana bagi pihak-pihak ini apa salahnya nama-nama mat saleh di jalan belah-belah Ampang sana dikekalkan sebab pasti ada sejarahnya. Kita lalu di sana hari-hari kita peduli apa siapa U-Thant, Eaton, Fletcher ini, kan? Tetapi mestilah nama-nama ini ada hubungkaitnya dengan Kuala Lumpur. Hanya Jalan Parry telah ditukar kepada Jalan P Ramlee pada awal 80-an oleh datuk bandar Kuala Lumpur ketika itu, Elyas Omar.

Seperti saya katakan tadi mungkin ada yang membantah jika nama-nama mat saleh ini ditukarkan kerana ada sejarahnya tetapi mengapa tidak marah pula apabila Kampung Kerinchi jadi Bangsar South, Segambut Dalam jadi Mont Kiara? Kita naik tren dan terdengar pengumuman dalam tren, ‘Stesen Abdullah Hukum’. Bila kita jenguk keluar tingkap langsung tidak ada kampung bernama Abdullah Hukum lagi. Ia sudah jadi KL Eco City, beb!

“Lu jangan terkejut, brader. Semenyih dan Beranang sana ada Eco Majestic. Eewahhh! Internasionale-nya!” kata kawan saya.

Internasional? Haa! Itulah sebenarnya nawaitu bebelan saya hari ini. Untuk bertaraf dunia maka kita harus dilihat gah. Nama mesti ala-ala ‘omputeh’! Ini yang disebut oleh menteri di kementerian berkaitan pada minggu lepas apabila dicadang Pasar Payang Terengganu dijenamakan sebagai Central Market. Aduh! Menyampah pulak telinga mendengarnya. Apalah salahnya Pasar Payang? Lekehkah bernama tempatan? Sebab itu ada orang memainkan sentimen politik perkauman atas isu ini. Kampung baru Cina mahu diiktiraf kampung warisan, bak kut teh pun mahu disenaraikan sebagai makanan warisan kebangsaan tetapi tup-tup Pasar Payang mahu ‘di-CentralMarket-kan’! Tolonglah pak menteri! Jauhkanlah dari isu-isu kontroversi politik yang mengundang sentimen berbentuk prasangka perkauman sebegini. Lecehlah! Kasihan bila ‘kawan-kawan’ terpaksa pula bersusah-payah mencuci ‘masalah’ yang tertabur.

Berkenaan kepercayaan tukar nama untuk nampak lebih hebat ini cukuplah! Ini karut-marut. Menukar nama tidak pernah menjanjikan perubahan apa-apa makna pun. Kalau ada kesannya pun-lah, sedikit sahaja, entah berapa peratuslah sangat. Bagi saya yang perlu ditukar ialah isinya. Dalam bab aktiviti seni dan budaya, ada tempat yang hidup secara organik, maka kementerian yang berkaitan wajib beri sokongan agar ia terus hidup. Ada tempat yang besar belanja pembinaannya tetapi mati kerana ia tidak asli. Ia dibuat-buat. Seni budaya bukan benda dibuat-buat. Ia tak jadi.

Kementerian harus mengenal pasti mana tempat yang subur, kemudian baja. Sudah tentulah ia tidak akan berjaya dengan sekelip mata tetapi ia harus dimulakan. Dalam hal Pasar Payang ini mujurlah banyak pihak khususnya rakyat Terengganu dan juga kerajaan negeri menolak cadangan tersebut dan mengekalkan nama Pasar Payang. Dah ‘cool’ dah tu. Tinggal nak perindahkannya je!

Banyak negara luar walaupun tak terkenal dengan kehebatan pencakar langit terkenal pula dengan seni budayanya. Ini kerana pemimpin dan rakyatnya mempunyai jati diri yang tinggi. Untuk membuatkan masyarakat punya jati diri dan bangga dengan watannya adalah dengan mengisi jiwanya supaya kenal budaya, agama, dan sejarah. Rakyat harus dicerahkan agar memahami dengan jelas hala tuju negara. Kemajuan negara bukan hanya terletak kepada kecemerlangan ekonomi melalui hasil bumi dan industri barangan tetapi juga kehebatan budayanya. Orang luar datang kerana mahu melihat kesenian dan kebudayaannya yang unik dan organik. Kalau pemimpin pun tak reti semua itu, yang dia tahu hanya percaturan politik dan kedudukan maka payahlah kita. Kalau segala sesuatu dasar dan pelan itu jiwanya bukan seratus-peratus untuk kecemerlangan negara sebaliknya hanya untuk kemenangan politik maka selamanya kita tidak akan kemana-mana. Jauh lagilah kita untuk berjaya. Jauh!

Kita wajar berbangga dengan nama yang melambangkan identiti kita. Nama kampung Janda Baik bukan bermaksud tak baik, Pantai Cinta Berahi bukan nama maksiat, Batang Berjuntai tak membawa makna lucah. Kampung Penajis di Rembau, Menggatal di Sabah, dan Kampung Imam Lapar di Terengganu ada kisah tersendiri dalam konteks budaya kita. Kekalkan, usah ada idea pandir dari mana-mana pemimpin politik untuk menukarnya. Nama-nama yang disebutkan itu seribu kali lebih baik daripada nama-nama asing seperti Ansfield, Enstek, atau Valencia yang entah macam mana boleh muncul kita pun tak tahu. Nak bangga dengan siapa kita ni? Ingat orang luar hairan?

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-3-2024 10:42 PM From the mobile phone | Show all posts
Aku tukar2 nama kucing sebab dia selalu sakit. Ada tu dua tiga kali tukar sbb tgk dia asyik sakit2. Bawak jumpa vet dan makan ubat. Ada tu ku sangka betina rupanya jantan. Umur tiga bulan baru jelas timbul dan nampak biji "fishball" nya. Terpaksalah tukar nama.


Reply

Use magic Report

Post time 11-3-2024 08:50 AM From the mobile phone | Show all posts
Condemn banyak sangat cuba melayu tukar dari nama ereb ke melayu name?.... Or memang terus hilang baroqah.... Nama muhammad pun banyak jadi penjenayah
Reply

Use magic Report

Post time 11-3-2024 09:20 AM From the mobile phone | Show all posts
Nama kita, identity kita. Lagi pun good utk tourism foreigner nak tgk local value bukannya cheap immitations. Suka aku dgr foreigner sebut nama dlm bahasa melayu dlm loghat mat salleh. Ini malaysian sebut nama tempat Melayu dlm loghat mat salleh yg mat salleh pun tak sebut apa daaa....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 02:10 PM GMT+8 , Processed in 0.173332 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list