CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26642|Reply: 0

[Pulau Pinang] Ramasamy kritik Akmal Saleh isu sekolah vernakular

[Copy link]
Post time 10-3-2024 06:08 PM | Show all posts |Read mode
Ramasamy kritik Akmal Saleh isu sekolah vernakular


Oleh Audrey Dermawan - Mac 10, 2024 @ 2:17pm  audreymd@nst.com.my




Dr Muhamad Akmal Saleh (kiri) dan P Ramasamy.




GEORGETOWN: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh susulan gesaannya supaya kajian menyeluruh dilakukan ke atas ekosistem pendidikan sekolah vernakular.

Malah, Ramasamy mendakwa EXCO Melaka itu keliru berhubung isu polarisasi kaum apabila mendakwa sekolah vernakular sebagai punca masalah terbabit.

Ramasamy, turut mempersoalkan sama ada Dr Mohamad Akmal akan mencadangkan supaya sekolah vernakular dihapuskan.

Ini kerana, katanya, cadangan Dr Muhamad Akmal kepada kerajaan bertujuan memperkukuh bahasa Melayu, selain mengakui kurang jelas dengan tujuan bagi gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

"Sekolah Kebangsaan (SK) bukanlah sistem pendidikan yang unggul hanya kerana dibiayai kerajaan. Masih banyak kekurangan dalam mempromosikan perpaduan kebangsaan di negara ini.

"Sekolah, sama ada vernakular atau kebangsaan, bukanlah punca utama masalah perpaduan negara. Ia hanya mencerminkan perpecahan politik etnik di negara ini.

"Namun, ia adalah manifestasi jelas membabitkan ketidakseragaman kaum dan agama di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH semalam, melaporkan Pemuda UMNO meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Ia termasuk aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan, penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan perlu dilaksana bagi memberi insentif serta tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Ramasamy berkata, Dr Muhamad Akmal perlu menyedari parti dianggotainya berperanan mewujudkan gangguan susulan gaya politik perkauman hagemoni (penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan) selama beberapa dekad sejak kemerdekaan.

Beliau juga mencadangkan supaya Dr Muhamad Akmal mencari punca sebenar masalah dalam sistem politik negara ketika ini, berbanding memberi tumpuan kepada SJK atau SK.

Politik perpecahan punca polarisasi kaum
Katanya, reformasi sistem pendidikan ke arah lebih baik tidak akan berlaku sekiranya ahli politik tidak sedia beralih daripada belenggu politik perpecahan.

"Apa gunanya salahkan sekolah vernakular, jika punca sebenar polarisasi kaum dan agama terletak pada kaedah politik diorganisasikan di negara ini.

"Adakah UMNO bersedia beralih daripada batasan kaum dan menerima ahli bukan Melayu? UMNO sebelum ini ada peluang yang baik untuk membetulkan sistem politik, tetapi gagal berbuat demikian.

"UMNO sudah terlambat untuk memikirkan perubahan sistem kerana sokongan dalam kalangan Melayu sudah berkurang. Ia hanya berusaha untuk bertahan.

"Sekolah vernakular bukanlah punca perpecahan kaum tetapi tindak balas terhadap diskriminasi etnik dan agama di negara ini," katanya.


Sekolah, sama ada vernakular atau kebangsaan, bukanlah punca utama masalah perpaduan negara. Ia hanya mencerminkan perpecahan politik etnik di negara ini - P Ramasamy




Mengulas lanjut, katanya, penyingkiran hampir semua bukan Melayu dalam sektor awam, diskriminasi penerimaan ke universiti dan program prauniversiti, pada dasarnya mengukuhkan kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Beliau menegaskan, golongan Cina dan India hanya mempertahankan kewujudan sekolah vernakular daripada ancaman dicetuskan golongan nasionalis ultra.

"Dalam situasi ini, bagaimana kewujudan sekolah vernakular boleh diinterpretasi sebagai punca utama perpecahan di negara ini?

"Terdapat perbezaan antara pemboleh ubah bebas dan bergantung. Jelas, sekolah vernakular bukan pemboleh ubah bebas. Ia berdepan ancaman kerana perlu bertahan dan berprestasi.

"Ini menjelaskan mengapa jumlah pelajar yang berdaftar di SJK Cina dan Tamil meningkat setiap tahun," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-6-2024 11:41 PM GMT+8 , Processed in 0.063544 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list