MUSNAH: Empat rumah musnah, manakala dua lagi terbakar 10 peratus dalam kejadian itu.
KOTA KINABALU: Dua penduduk cedera dalam kebakaran yang membabitkan enam rumah atas air di Kampung Saga 1, Manggatal, di sini, pagi tadi
Kedua-dua mangsa lelaki masing-masing berusia lingkungan 40 tahun terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.34 pagi.
Katanya, lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba mengalami kesukaran menjalankan operasi disebabkan tiada laluan masuk dan terpaksa berjalan kira-kira satu kilometer ke lokasi kejadian.
“Dalam kebakaran itu, empat rumah musnah sepenuhnya manakala dua rumah terbakar 10 peratus,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan sumber air terbuka iaitu air paip yang terdapat berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, terdapat dua mangsa terbabit dilaporkan cedera, satu mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi dirawat di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah hari.
“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/09/dua-lelaki-cedera-dalam-kebakaran-enam-rumah
|