KENANGAN: Christina (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Wartawan Mr. Food and Travel Magazine, Felix Fichtner.
BERLIN: Sabah dikuniakan lautan yang kaya dengan hidupan marin sekali gus menjadi tarikan penting sebagai destinasi makanan laut.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, makanan laut di Sabah adalah segar dan menjadi tarikan utama pelancong.
"Makanan laut adalah terkenal di Sabah khususnya Kota Kinabalu, selain bandar yang terletak di persisiran pantai, hampir kesemua restoran di Kota Kinabalu menghidangkan makanan laut yang segar dengan pelbagai jenis cara masakan," katanya ketika ditemu bual wartawan Jerman di ITB Berlin 2024 baru-baru ini.
Beliau berkata, lawatan ke Sabah tidak sempurna sekiranya tidak mencuba kepelbagaian hidangan makanan laut.
Selain itu katanya, hidangan tradisional 'Hinava' juga berasaskan ikan dan perlu dicuba oleh pelancong luar yang datang ke Sabah.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, antara destinasi yang wajib dilawati oleh setiap pelancong yang datang ke Kota Kinabalu ialah Api-Api Night Food Market, Tamu Gaya dan Lido Square Food Court.
"Api-Api Night Food Market adalah wajib dilawati kerana memperkenalkan pelbagai makanan asli masyarakat Sabah," katanya.
Selain itu katanya, Kota Kinabalu juga adalah pintu utama untuk sampai ke bandar seperti Sandakan, Tawau dan Semporna yang menawarkan destinasi hidupan liar dan pulau yang bertaraf antarabangsa.
|