CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2969|Reply: 0

[Sabah] Program walkabout dipertingkat, tiada kes jenayah direkod di bandaraya Kota Kinabalu

[Copy link]
Post time 3-3-2024 06:00 PM | Show all posts |Read mode


TURUN PADANG: Mohd Zaidi semasa melaksanakan program walkabout di salah sebuah kawasan tumpuan di sini.

KOTA KINABALU: Susulan berlakunya beberapa kes jenayah di pusat bandaraya awal Februari lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengambil inisiatif meningkatkan program tinjauan mesra atau walkabout yang dilaksanakan oleh semua elemen secara bersepadu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, usaha itu membuahkan hasil apabila tiada sebarang jenayah direkodkan sejak 21 hingga 29 Februari lalu.

“Peningkatan program walkabout bukan hanya berjaya menunjukkan kehadiran (omni present) pihak polis kepada masyarakat di zon yang ditetapkan tetapi juga mampu membuat rondaan berkualiti di zon masing-masing.

“Sepanjang program dijalankan pihak polis juga membuat pemeriksaan berkualiti terhadap individu yang berpotensi membuat jenayah

seterusnya membuat tangkapan sekiranya terlibat dalam penyalahgunaan undang-undang.

“Keselamatan semua pihak juga terjamin dengan lawatan pihak polis ke premis perbankan serta komersil, kedai ‘soft target’ termasuklah premis serbaneka yang beroperasi selama 24 jam,” katanya.

Beliau berkata, isu keselamatan juga lebih terjamin apabila pihak polis memberi nasihat keselamatan kepada pelancong asing dan menyediakan saluran bantuan kecemasan jika berlaku jenayah kepada mereka.

“Dengan adanya rondaan menyeluruh dalam program walkabout bersepadu ini tiada sebarang jenayah berlaku di pusat bandar berbanding tempoh sama bermula 11 hingga 20 Februari.

“Bagi memastikan keadaan ini berkekalan, agensi penguatkuasa sahabat diharap dapat membantu dari aspek kekuatan sumber manusia kepada PDRM untuk membolehkan aktiviti walkabout dapat dibuat sebanyak tiga hingga empat syif setiap hari agar tiada kelompangan.

“Masyarakat serta warga bandaraya juga diminta terus bekerjasama melaksanakan kawalan keselamatan di kawasan masing-masing termasuklah Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terutama di Kampung Tanjung Aru, Taman Dixon Luyang, Bandulan Manggatal, Warisan Inanam serta Gudon Alamesra,” katanya.

Program walkabout dilaksanakan di empat kumpulan pada waktu pagi dan malam di sekitar pusat bandar dengan dibahagikan kepada empat zon meliputi kawasan bandar yang pesat dengan aktiviti perniagaan, perbankan serta pelancongan bagi pengunjung tempatan dan asing.

Zon A meliputi kawasan bermula Pondok Polis Warisan Square sehingga kawasan Pasar Besar ke pusat beli belah Suria Sabah manakala Zon B menghala ke Anjung Senja sehingga pusat beli belah Imago.

Zon C bagi kawasan Sinsuran ke Wisma Merdeka diikuti Zon D bagi kawasan kritikal iaitu lokasi tumpuan ramai di Jalan Gaya, Asia City, Kampung Air sehingga Hotel Mercure.

Pada masa sama, program walkabout bersepadu juga dijalankan pada waktu puncak bermula Jumaat sehingga Ahad yang disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi meningkatkan kekerapan rondaan dan meluaskan kawasan rondaan sepanjang aktiviti Pasar Malam Gayastreet dan Tamu Gaya pada pagi Ahad.

Turut dijalankan ialah Op Payung di beberapa kawasan tumpuan ramai yang tidak dapat dihadiri pasukan walkabout serta Op Poket daripada pihak Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) IPD Kota Kinabalu.

Team Cantas juga dijalankan berdasarkan penugasan ditetapkan selain Op PTI Bersepadu selain rondaan rondaan kenderaan peronda polis (MPV) di zon program walkabout dengan lebih kerap bagi mengesan serta menahan penjenayah di kawasan masing-masing.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 11:37 PM GMT+8 , Processed in 0.066979 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list