|
PERTAHANAN baharu TFC dari Belanda, Matthew Steenvoorden. FOTO TFC
Kuala Terengganu: Sekalipun bakal membuat penampilan pertama di pentas Asia Tenggara, bintang baharu Terengganu FC (TFC), Matthew Steenvoorden akui tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.
Tambah bekas pemain skuad kebangsaan Belanda Bawah 19 Tahun (B-19) itu, dia juga tidak kekok bergandingan dengan pemain tempatan biarpun sebelum ini lebih banyak beraksi dalam liga Eropah.
Bagaimanapun pertahanan tengah baharu skuad Penyu itu akui perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya.
Malah bekas pemain kelab Pakhtakor FC dalam Liga Uzbekistan musim lalu itu juga turut akui perlu memahami taktikal ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy'.
"Bagi saya bukannya masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak di rantau Asia Tenggara ini biarpun bakal membuat penampilan kali pertama bersama TFC.
"Lagipun saya fikir bola sepak di sini (Liga Malaysia) adalah sama dengan saingan liga yang lain, tiada bezanya, jadi saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.
"Cuma ianya berkaitan kualiti, jika anda pemain yang bagus sudah pasti anda akan beraksi bagus dan begitulah sebaliknya," ujar Steenvoorden yang bakal menyarung jersi nombor 4 selepas 'dirantai' selama semusim bersama skuad itu.
Ketika ditanya apakah faktor yang mendorongnya memilih TFC biarpun khidmatnya masih diperlukan kelab lamanya, pemain yang pernah menyarung jersi enam kelab berbeza sebelum ini akui mahu merasai pengalaman beraksi di pentas Asean.
"Faktor saya memilih TFC kerana ingin merasai pengalaman beraksi di pentas Asean selain menyahut tawaran daripada ketua jurulatih, Tommy.
"Impian saya sudah pasti mahu meletakkan pencapaian pasukan TFC ini lebih baik berbanding musim lalu, harap ianya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi skuad ini bukannya calang-calang pasukan sebagaimana dibuktikan ketika beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tahun lalu," kata pemain yang dikatakan mempunyai darah campuran dengan Indonesia.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... suaikan-diri-di-tfc |
|