CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2363|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Bayar RM100K atau cari lagi scammer!

[Copy link]
Post time 27-2-2024 01:13 PM | Show all posts |Read mode

Lelaki jadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar selepas percaya dengan tawaran pekerjaan bergaji tinggi

Kuala Lumpur: "Saya diberikan dua pilihan jika mahu dibebaskan iaitu bayar wang tebusan berjumlah RM100,000 atau perangkap tiga lagi mangsa untuk dijadikan scammer," kata Abol (bukan nama sebenar) ketika menceritakan pengalamannya menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar, Oktober tahun lalu.

Lelaki berusia 27 tahun itu dipaksa menjadi scammer selama hampir sebulan sebelum berjaya meloloskan diri.

Menurutnya, tawaran pandapatan mencecah RM20,000 setiap bulan menjadi punca dia dan segelintir rakyat Malaysia sanggup ke sana tanpa menyedari mereka menjadi hamba sindiket penipuan.

"Saya ke sana pada Oktober tahun lalu selepas mereka tawar upah RM8,000 untuk saya ke Thailand kononnya untuk membeli barang upacara sembahyang malah tiket penerbangan, hotel dan segala perbelanjaan ditanggung.


"Saya berurusan dengan seorang lelaki tempatan melalui panggilan telefon dan kami tidak pernah berjumpa," katanya.

Di Myanmar, Abol berkata, dia ditempatkan bersama lapan individu lain di sebuah bilik yang terletak di sebuah kompleks perindustrian lengkap dengan kedai runcit, restoran, rumah urut serta pusat hiburan.

Menurutnya, harga barangan di kedai runcit dan restoran di kompleks terbabit amat tinggi sehingga tiga kali ganda lebih mahal daripada harga di Malaysia.

"Kami diarahkan mencari mangsa untuk penipuan pelaburan atau love scam dan kami akan dibayar gaji setiap bulan yang boleh dibelanjakan di kedai dan di pusat hiburan di dalam kompleks milik sindiket terbabit.

"Kami bebas bergerak di dalam kompleks terbabit namun tidak dibenarkan keluar dan lokasi itu dikawal rapi oleh pengawal bersenjata," katanya.

Abol berkata, sindiket itu mempunyai struktur organisasi yang lengkap malah beroperasi mengikut bahagian atau jabatan masing-masing dengan diketuai oleh seorang lelaki dipercayai warga China berusia 50-an.

Katanya, setiap jabatan mempunyai penyelia terdiri daripada warga China dan ada juga warga Malaysia yang sudah lama bekerja dilantik sebagai penyelia bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.

"Bos warga China agak baik namun segelintir penyelia atau ketua pasukan warga Malaysia sendiri gemar membuli mangsa dari Malaysia.

"Kalau tidak capai sasaran (jumlah mangsa yang ditipu), kami akan dipukul dan kad makanan yang digunakan untuk membeli makanan akan dirampas, jadi nak tak nak kami terpaksa lakukan kerja itu.

"Mereka suruh saya tipu orang, mereka tawar gaji 30,000 Yuan (RM20,000) tetapi saya tidak sanggup dan mahu pulang dengan segera namun mereka tidak mahu lepaskan saya," katanya.

Menurutnya, dia diberikan pilihan untuk bebas sama ada dengan membayar RM100,000 atau perangkap tiga lagi mangsa untuk dijadikan scammer bagi menebus dirinya.

Katanya, dengan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), mereka merangka pelan untuk melarikan diri daripada premis yang dikawal ketat itu.

Abol berkata, dia dan lima rakan lain memantau keadaan di sekeliling kompleks itu selama dua minggu sebelum nekad melarikan diri pada awal pagi.

"Kami melarikan diri menuju ke sebatang sungai yang cetek dan melintas masuk ke sempadan Thailand pada tengah malam.

"Malangnya hanya tiga daripada kami berjaya lepaskan diri manakala tiga lagi rakan kami ditangkap ketika cuba memanjat pagar," katanya.

Menurutnya, dia akhirnya dapat kembali ke Malaysia pada November tahun lalu dan pengalaman menjadi hamba sindiket penipuan itu sukar dilupakan.

"Saya berharap orang ramai yang mendapat tawaran pekerjaan seumpama supaya berhati-hati dan membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Jangan terburu-buru terima tawaran itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... u-cari-lagi-scammer
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 05:06 AM GMT+8 , Processed in 0.051575 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list