MOHD YAAKOB
TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan projek ‘Independant Power Distributor’ (IPD) khas dengan meter prabayar untuk pembekalan elektrik kepada kawasan penempatan setinggan di daerah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, Projek IPD ini didapati sangat berkesan setelah dilaksanakan di Kampung Forest, Sandakan pada bulan Oktober tahun lepas.
Katanya, kejadian gangguan bekalan elektrik, vandalisma dan kualiti voltan rendah di Kampung Forest, Sandakan kini adalah ditahap minima.
“Pelaksanaan projek IPD di kampung itu membuktikan bahawa projek ini adalah jalan penyelesaian bagi isu penyambungan haram di kawasan setinggan.
“Sebelum ini, SESB banyak menanggung kerugian akibat aktiviti curi elektrik di kawasan berkenaan kerana tidak dapat mengutip hasil penggunaan elektrik daripada penduduk,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, SESB telahpun mengenalpasti beberapa kawasan setinggan yang sesuai untuk projek IPD khas ini termasuklah di Kampung Hidayat, Tawau.
“Kita telah memulakan proses awal tinjauan bagi mendapatkan maklumat dan skop untuk melaksanakan projek ini.
“Cadangan pelaksanaan projek ini kemudiannya akan diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS) bagi tujuan untuk mendapatkan lesen IPD dan kadar tarif jualan,” katanya.
Terdahulu, cadangan pelaksanaan projek IPD ini telah dikongsikan dengan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui semasa lawatannya ke Kampung Hidayat, Tawau bersama-sama dengan Pengerusi SESB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Khamis lepas.
|