RAMPAS: Sebahagian minyak petrol yang dirampas di dalam bot pam ditinggalkan suspek.
KUDAT: Dua lelaki sanggup terjun ke laut meninggalkan bot pam yang mengandungi muatan 3,600 liter petrol bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, kejadian berlaku apabila bot ronda PPM Kudat sedang menjalankan rondaan Op Taring Gelora sebelum mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut Tanjung Meniangit, di sini kira-kira jam 11.10 malam.
“Sebaik pasukan menghampiri bot pam berkenaan untuk diperiksa, juragan bot bertindak memecut laju beredar dari lokasi.
“Semasa insiden mengejar bot terbabit, dua lelaki masing-masing juragan serta penumpang bertindak terjun ke laut dan gagal dikesan selepas usaha mengesan dijalankan lebih sejam di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam bot pam berjaya menemukan 36 tong dram mengandungi 3,600 liter petrol bernilai RM10,080.
Katanya, turut dirampas bot pam bernilai RM30,000, dua unit enjin bot bernilai RM4,000 serta dua set batang shaft beserta bilah bernilai RM1,000.
“Kesemua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM45,080 dibawa ke Pengkalan Polis Marin Kudat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau juga meminta masyarakat untuk bersama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutama membabitkan penyeludupan di negeri ini.
|