OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memotong besi berkenaan.
SANDAKAN: Seorang pekerja ladang cedera selepas besi yang digunakan mengutip buah kelapa sawit tertusuk di bahagian perutnya dalam kejadian di sebuah ladang sawit, di sini pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 21 tahun yang cedera itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Nidzam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Duchess Of Kent, Sandakan pada jam 10.35 pagi.
“Seramai tiga anggota dan pegawai BBP Sandakan digerakkan ke hospital berkenaan untuk menjalankan operasi membantu memotong besi yang tertusuk di perut mangsa.
“Pasukan bomba terus bertindak memotong besi berkenaan dengan menggunakan mesin grinder,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, mangsa dalam keadaan stabil dan telah diserahkan kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.07 pagi.
|