LANGKAWI: Bilangan lokaliti yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga meningkat kepada lima daerah di negeri ini hari ini berbanding dua semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan kawasan terbabit adalah Pulau Langkawi, Kota Setar, Yan, Pendang dan Pokok Sena.
"Suhu maksimum harian di daerah terbabit adalah antara 35 hingga 37 darjah Celsius dan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut," katanya.
Semalam, laman web sama memaklumkan hanya dua daerah di Kedah yang mencacat cuaca panas tahap satu iaitu Pulau Langkawi dan Yan, selain cuaca sama turut direkodkan di Seberang Perai Utara di Pulau Pinang.
Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Selain cuaca panas tahap satu, MetMalaysia mengklasifikasikan suhu antara 37 hingga 40 darjah Celsius sebagai tahap dua dan lebih 40 darjah celsius sebagai tahap tiga.