CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26813|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pasangan 'tendang' kenderaan lain di Jambatan Pulau Pinang didenda RM2,500

[Copy link]
Post time 10-2-2024 11:32 AM | Show all posts |Read mode
Pasangan 'tendang' kenderaan lain di Jambatan Pulau Pinang didenda RM2,500


Oleh Nur Izzati Mohamad - Februari 10, 2024 @ 10:39am  bhnews@bh.com.my




Kedua-dua tertuduh yang juga peniaga makanan didenda masing-masing RM2,500 dan sekiranya gagal bayar, penjara enam bulan di Mahkamah Majistret semalam.




BUKIT MERTAJAM: Suami isteri yang mengganggu dan menakutkan penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang sehingga video perbuatan mereka tular di media sosial, masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas kedua-dua tertuduh Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50 dan isterinya, Ong Ser Ying, 37, mengaku salah.

Nurul Rasyidah turut memerintahkan penjara enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh sekiranya denda itu gagal dibayar.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa menakutkan dua lelaki secara jenayah ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 2.8 Jambatan Pertama Pulau Pinang dari arah Pulau ke Perai, jam 5 petang, 5 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari manakala pasangan berkenaan tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap mereka, selain tertuduh wanita berulang kali memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Kedua-dua tertuduh yang juga peniaga makanan meminta denda minimum sebelum mahkamah menetapkan denda masing-masing RM2,500 dan sekiranya gagal bayar, penjara enam bulan.

Sementara itu, Muhammad Hafiz turut didakwa di mahkamah berasingan atas kesalahan trafik mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video pasangan suami isteri berkenaan yang menunggang motosikal secara berbahaya di Jambatan Pulau Pinang.

Dalam video itu, suspek wanita didapati membaling sesuatu objek dipercayai pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikal ditunggang suaminya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-5-2024 05:08 AM GMT+8 , Processed in 0.065985 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list