CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2128|Reply: 0

[Sabah] Senyum manis di musim perayaan dengan penjagaan gigi yang betul

[Copy link]
Post time 7-2-2024 09:53 PM | Show all posts |Read mode


EMILIA

KOTA KINABALU: Memandangkan musim perayaan semakin hampir, pastinya kebanyakan kita sudah kecur liur membayangkan hidangan yang lazat semasa merayakan detik gembira bersama insan tersayang.

Keterujaan menyambut perayaan itu bagaimanapun membuatkan kita kadangkala leka dan lupa tentang kepentingan menjaga kesihatan pergigian yang baik.

Doktor Pergigian di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway yang juga hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia Dr.Emilia Chua, semasa berkongsi pandangan tentang cara mengekalkan senyuman yang indah semasa musim perayaan berkata, menjamu selera biarlah secara sederhana.

"Tidak salah untuk menikmati juadah yang lazat tetapi perlu berpada-pada dan elakkan mengambil makanan serta minuman manis yang mengandungi gula berlebihan kerana ia boleh menyumbang kepada kerosakan gigi dan masalah kesihatan gigi yang lain.

“Sebagai alternatif, pilih makanan yang mempunyai sumber gula yang kurang contohnya, “dark chocolate” berbanding gula-gula biasa kerana kandungan gula yang tidak berlebihan dan ia kurang melekat pada gigi anda.

“Selain itu makanan bergula juga adalah lebih baik diambil bersama hidangan berat berbanding makanan ringan kerana pengeluaran air liur semasa makan boleh membantu meneutralkan asid dan membilas makanan," katanya.

Beliau juga mencadangkan pemilihan makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, keju, kekacang, protein tanpa lemak, bijirin penuh, serta minuman seperti teh hijau dan hitam dapat memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan mulut.

“Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina,  pengambilan buah oren pasti akan bertambah tetapi makanlah secara sederhana kerana oren bersifat asidik dan boleh menghakis enamel dan meningkatkan risiko kerosakan gigi.

“Gunakan penyedut minuman untuk minuman bergula atau berasid seperti minuman ringan dan minumlah pada waktu makan, kekal hidrat dengan air yang cukup dan kunyah gula-gula getah xylitol tanpa gula untuk merangsang penghasilan air liur serta mencegah kerosakan gigi," katanya.

Bagi memastikan gigi berada dalam keadaan baik katanya, lakukanlah pemeriksaan dan pembersihan gigi sebelum musim perayaan dan pada masa sama dapat mengesan masalah lebih awal.

"Dapatkan nasihat daripada doktor gigi anda dan berbincang mengenai pilihan rawatan yang diperlukan seperti tampalan, pemutihan gigi, “veneer”, sarung gigi (crown), dan gigi palsu.

“Bagi kanak-kanak, digalakkan untuk mengambil makanan manis secara sederhana dan pilih snek yang tidak merosakkan gigi dan digalakkan untuk minum air.

“Kekalkan rutin penjagaan mulut yang betul dan memantau cara memberus gigi bagi kanak-kanak yang lebih muda," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga beekongsi tip tambahan bagi penjagaan kesihatan mulut dengan lebih baik iaitu hadkan minuman manis dan berasid manakala berkumur selepas mengambil makanan manis dan kekal hidrat bagi menghilangkan sisa makanan dan asid.

“Pilih snek yang tidak merosakkan gigi seperti lobak merah, saderi, susu, keju, yogurt dan beruslah gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida dan flos setiap hari bagi mengelakkan penyakit gusi.

“Makan makanan diet yang kaya dengan nutrien serta menukar berus gigi dengan kerap selain melakukan pemeriksaan pergigian secara berkala dapat membantu mengekalkan kesihatan dalaman mulut,” katanya.

Beliau berkata, musim perayaan juga adalah masa yang sesuai untuk pergi bercuti dan sebahagian daripada kita mungkin mengalami masalah gigi sensitif ketika dalam perjalanan ke lokasi dituju dengan cuaca yang dingin atau sejuk.

“Udara sejuk dan beberapa makanan tempatan yang mengandungi gula dan asid yang tinggi boleh meningkatkan risiko gigi sensitif terutamanya di kawasan akar gigi terdedah atau kawasan gigi yang haus.

“Amalkan kebersihan mulut anda seperti memberus gigi, flos, dan menggunakan pengkumur mulut semasa bercuti untuk meminimumkan risiko sensitiviti dan masalah pergigian yang lain.

“Bawalah barangan penjagaan mulut yang mencukupi terutamanya di dalam pesawat, sebaiknya gunakan penutup berus gigi untuk memastikan ia kekal bersih serta kekal hidrat untuk membilas sisa makanan dan mengelakkan mulut kering sepanjang perjalanan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya berlaku kecemasan berkaitan pergigian seperti tampalan pecah ketika mengunyah kacang atau gula-gula yang keras atau mengalami gigi sensitif, bilas mulut dan flos dengan lembut sebelum ke klinik pergigian berhampiran.

“Gunakan pad sejuk yang mampat untuk meredakan sebarang bengkak dan ambil ubat tahan sakit seperti paracetamol.

“Sekiranya bahagian gusi bengkak, demam, atau kesukaran bernafas atau menelan, dapatkan rawatan pergigian kecemasan atau ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan segera.

“Jika gigi tercabut, pegang gigi di bahagian korona, bilas tanpa menggosok dan cuba masukkan semula ke dalam soket dengan segera jika boleh atau simpan di dalam susu atau air liur untuk mengekalkan gigi sambil mendapatkan rawatan pergigian dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes tampalan yang hilang atau sarung gigi (crown) tercabut, kekalkan kebersihannya dan pastikan sarung gigi (crown) yang tercabut itu selamat dan segera mendapatkan rawatan pergigian.

Katanya, diharapkan perkongsian penjagaan pergigian ini dapat membantu memastikan orang ramai menikmati musim perayaan dengan gembira dan sihat sambil mengekalkan kesihatan dan kebersihan gigi masing-masing.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/02/07/senyum-manis-di-musim-perayaan-dengan-penjagaan-gigi-yang-betul


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 10:33 PM GMT+8 , Processed in 1.441662 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list