CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7803|Reply: 0

[Kedah] Mungkin ada tali barut

[Copy link]
Post time 1-2-2024 11:49 AM | Show all posts |Read mode
Mungkin ada tali barut


Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my



RIDZZUAN (kanan) bersama sebahagian 12 wanita Thailand yang ditahan JIM kerana tidak mempunyai cop pengesahan pada pasport. FOTO Zuliaty Zulkiffli




Bukit Kayu Hitam: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah tidak menolak ada tali barut susulan penahanan 30 warga asing yang cuba masuk tanpa membuat pengesahan cop pasport atau pas sempadan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) kelmarin.

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, mereka ditahan selepas pemeriksaan terhadap 10 kenderaan yang bernombor pendaftaran Thailand di lokasi terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 20 penumpang dalam kesemua kenderaan terbabit mendapati, lapan daripadanya mempunyai cop pengesahan pada dokumen perjalanan manakala 12 daripadanya tidak mempunyai cop yang sah pada pasport dan pas sempadan untuk masuk ke negara ini.

"Berikutan itu kesemua mereka yang terdiri daripada 29 warga Thailand dan seorang warga Kemboja itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Namun, 13 daripadanya termasuk lima pemandu iaitu seorang warga Kemboja dan 12 warga Thailand dikeluarkan notis penolakan masuk ke negara ini selepas mendapati mereka tidak memenuhi syarat kemasukan.

"Bagaimanapun, 17 lagi warga asing iaitu warga Thailand yang terdiri daripada 12 wanita berusia antara 22 hingga 55 tahun dan lima lelaki yang disyaki transporter (pemandu kenderaan) berusia 20 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Kompleks JIM di sini hari ini.

Mohd Ridzzuan berkata, ketika ditahan, mereka memberi pelbagai alasan antaranya mahu mencari jalan untuk patah balik ke Thailand dan hendak mencari kaunter pertanyaan di situ.

Bagaimanapun, mereka ditahan selepas didapati melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JIM.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 1955 kerana tidak memiliki suatu pas sah yang dikeluarkan kepadanya bagi memasuki Malaysia dan kesalahan yang biasa ditemui sewaktu pemeriksaan seperti tiada pasport, kosong dan tiada cop masuk.

"Selain itu, siasatan menyeluruh juga dilakukan mengikut Seksyen 8(3) Akta 155 - iaitu Imigran larangan seperti penjenayah, pelacur, ekstrimis, pengganas, peminta sedekah, gila dan sebagainya," katanya.

Mohd Ridzzuan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini memandangkan ini kes pertama cubaan masuk ke negara ini tanpa membuat pengesahan cop pasport atau pas sempadan walaupun mempunyai dokumen itu yang membabitkan jumlah yang ramai.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada berkemungkinan wujudnya sindiket atau sebaliknya selain pembabitan pegawai dalaman dalam kes ini atau sebaliknya.

"Kesemua wanita asing itu tidak mengenali antara satu sama lain manakala lima pemandu kenderaan yang ditahan disyaki adalah rakan.

"Laporan polis sudah dibuat membabitkan 17 tangkapan itu dan mereka akan direman sekurang-kurangnya 14 hari untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, kita turut menyita telefon bimbit mereka serta lima kenderaan termasuk dua buah pikap jenis Isuzu D-Max, Toyota Hilux Revo, sebuah Honda Civic dan sebuah kenderaan Toyota Camry untuk membantu siasatan" katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sesiapa yang menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan Akta dan Peraturan Imigresen.



Disiarkan pada: Februari 1, 2024 @ 11:22am








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-5-2024 03:25 AM GMT+8 , Processed in 0.050884 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list