Anggota APM berjaya menangkap monyet terlepas memasuki bilik kosong sebuah rumah.
BINTULU: Penghuni sebuah rumah di Kampung Kemunting di sini cemas apabila monyet peliharaan mereka yang terlepas dari sangkar telah bertindak memasuki sebuah bilik kosong di rumah tersebut dalam kejadian pada Selasa.
Meskipun tidak ada perkara tidak diingini berlaku, namun bimbang atas keselamatan diri dari digigit haiwan itu, penghuni rumah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan bagi menangkapnya.
Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Bintulu Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.38 petang.
"Lima anggota APM diketuai Sarjan (PA) Kamsiah Bolhassan dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati seekor monyet yang agresif berada dalam bilik kosong di rumah tersebut seperti yang dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota APM terus bertindak mengguna tangguk kayu dan teknik menjerut sehingga monyet tersebut berjaya ditangkap seterusnya dimasukkan semula ke dalam sangkar besi di kawasan rumah tersebut.
"Setelah keadaan selamat anggota APM kembali semula ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Bintulu," katanya.
|