CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2283|Reply: 0

[Pulau Pinang] Penduduk syukur bekalan air pulih ikut jadual

[Copy link]
Post time 14-1-2024 04:50 PM | Show all posts |Read mode

Kelihatan orang awam sedang menjemur baju yang baru siap di cuci.

Balik Pulau: Penduduk di Pulau Pinang terutama mereka yang tinggal di lokasi kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di selatan bahagian pulau bersyukur kerana bekalan air diterima mengikut jadual yang ditetapkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Penduduk di Sungai Ara, Bayan Lepas, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul sebelum ini bimbang bekalan air di kawasan itu akan lambat pulih kerana jika berlaku gangguan bekalan, selalunya mereka akan menerima air lewat dua hingga tiga hari berbanding di tempat lain.

Sebagai contoh, ketika insiden paip bocor di dasar Sungai Perai, Butterworth pada 18 Jan lalu, kebanyakan kawasan terbabit mula menerima air selepas dua hari, namun bekalan air di EoL hanya pulih selepas empat hingga lima hari.

Seorang penduduk di Teluk Kumbar, Mohd Azman Ismail, 50, berkata, dia berterima kasih kepada PBAPP dan kerajaan negeri kerana berusaha memulihkan bekalan air seperti yang dijadualkan walaupun berlaku kebocoran baharu paip di Sungai Perai dua hari lalu.



Mohd Azman berkata, bekalan air di rumahnya kembali pulih sepenuhnya menjelang 2 pagi tadi dan dia menyedari perkara itu selepas bangun tidur untuk ke tandas.

"Saya sekeluarga memang simpan air di dalam tong-tong besar sebab bimbang air tiada banyak hari kerana sebelum ini kalau tidak ada air memang tempat kami paling lambat dapat bekalan tapi kali ini betul-betul ikut jadual.

"Terima kasih juga kepada PBAPP dan kerajaan negeri yang bertungkus lumus memastikan bekalan air ikut jadual … malah, sepanjang tiada air banyak lori tangki termasuk daripada Pasukan Bomba Sukarela yang datang hantar air di kawasan kami," katanya.

Bagi Tang Weng Kit, 45, yang tinggal di Bayan Lepas pula dia sekeluarga turut menyatakan penghargaan kepada pihak berkaitan kerana menjalankan tugas dengan baik sepanjang kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 meter (m) yang bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dekat sini.

Tang berkata, pemberitahuan awal berhubung gangguan bekalan air berjadual telah banyak membantunya untuk menyimpan air secukupnya dan membuat perancangan awal bagi menghadapi gangguan itu.

"Kali ini gangguan bekalan air tidak seteruk semasa insiden Sungai Perai kerana kami telah bersiap sedia, malah simpanan air juga cukup sebab banyak tangki air dan lori tangki disediakan di kawasan penduduk yang ramai," kata jurutera kilang itu.

Zainuddin Zainul, 34, berkata, perancangan rapi dan tindakan pantas oleh pasukan PBAPP telah melancarkan pemulihan bekalan air kepada penduduk di negeri itu terutama mereka yang tinggal di kawasan EoL.

"Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada PBAPP serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan semua yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan serta pemulihan air demi keselesaan seluruh rakyat di negeri ini.

"Terbaik dan syabas buat semua yang bertungkus lumus memastikan kerja berjalan lancar mengikut jadual," katanya yang tinggal di Teluk Kumbar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, bekalan air di kawasannya pulih sepenuhnya pada 5 pagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama PBAPP dan kerajaan negeri yang prihatin dengan menghantar lori tangki dan menyediakan tangki air statik untuk memastikan penduduk di situ tidak terputus bekalan air sepanjang tempoh empat hari gangguan bekalan air bermula Rabu lalu.

PBAPP memaklumkan bekalan air kepada 590,000 keseluruhan pengguna yang terjejas telah pulih mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam kenyataan, PBAPP memaklumkan tahap ketiga dan keempat pemulihan bekalan air membabitkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau negeri itu serta baki 0.5 peratus daripada pengguna terjejas di kawasan kejiranan EoL dan tanah tinggi di kawasan selatan bahagian pulau kedua-duanya selesai sepenuhnya pada 6 pagi.

Gangguan bekalan air berjadual itu disebabkan kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 m yang bocor di LRA Sungai Dua.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-pulih-ikut-jadual

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 10:57 PM GMT+8 , Processed in 0.058077 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list