CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23590|Reply: 0

[Pulau Pinang] Gigih gali telaga, guna semula perigi lama

[Copy link]
Post time 7-1-2024 05:04 PM | Show all posts |Read mode

Pengerusi Kariah Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Sazali Salleh (kanan) melihat paip air bawah tanah yang baru dipasang dengan beberapa tong air besar disediakan di Masjid Masjid Ridwaniah Sungai Batu di sini, yang akan digunakan bagi kegunaan ketika gangguan bekalan air selama empat hari - Foto NSTP/DANIAL SAAD

BAYAN LEPAS: Sebahagian besar penduduk di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini gigih mencari sumber air alternatif termasuk ada yang sanggup menggali telaga baharu berdekatan kediaman masing-masing sebagai persiapan gangguan bekalan air selama empat hari bermula Rabu ini.

Seorang penduduk, Rosaniza Ab Rashid, 53, berkata dia sekeluarga dibantu jiran bergotong-royong menggali telaga sedalam kira-kira 2.5 meter dengan hanya menggunakan cangkul sejak Jumaat lalu yang dijangka siap lewat petang ini.

"Lebih 15 orang menggali telaga secara bergilir-gilir. Selain orang dewasa, ramai juga anak-anak jiran turut membantu dan Allhamdulillah sudah hampir selesai cuma tinggal proses mengeluarkan air selut.

"Saya sekeluarga sebenarnya menyewa sahaja di sini jadi kami amat berterima kasih kepada tuan rumah kerana beri kebenaran gali telaga betul-betul di depan rumah yang menelan belanja kira-kira RM300," katanya ketika ditemui BH hari ini.



Suri rumah itu berkata dia masih trauma mengenangkan pengalaman terputus bekalan air selama lapan hari ketika insiden paip di dasar Sungai Perai pecah 18 Disember lalu dan berhabis ratusan ringgit untuk membeli air mineral untuk kegunaan harian 10 ahli keluarga termasuk lima cucu.

Dia turut meluahkan rasa bimbang gangguan bekalan air yang sepatutnya dijadualkan berlaku selama empat hari itu berlarutan lebih lama memandangkan kediamannya termasuk dalam kawasan hujung laluan (EoL) yang paling lewat menerima bekalan air.

"Semasa paip pecah itu, kawasan orang lain dua hari sudah ada air tapi kami sampai lapan hari kena tunggu. Rasa sedih dan truma pernah kena marah sebab minta air. "Kami faham semua orang terdesak pada masa itu. Jadi kali ini kalau bekalan air tidak stabil lebih seminggu atau mungkin sebulan bagaimana?" katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Batu Laut, Mohd Sobri Hamid, berkata, pihaknya telah mengenal pasti enam telaga lama yang masih boleh digunakan dan boleh membekalkan air kepada kira-kira 300 rumah di kampung berkenaan.

Beliau berkata, kebanyakannya adalah telaga terbiar yang tidak pernah digunakan sejak lebih 40 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz turut memberi sumbangan menampung kos pemasangan pam dan paip di telaga terbabit.

Dalam pada itu, Pengerusi Kariah Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Mohd Sazali Salleh berkata dalam tempoh dua minggu pihaknya berjaya menggali telaga di perkarangan masjid sedalam 14.6 meter yang dihubungkan ke tiga buah tangki dengan kapasiti 2,000 liter air setiap satu.

"Hari ini kita nak buat ujian sistem aliran air. Memandangkan kawasan ini agak tinggi dan jika kedalaman masih belum cukup untuk air bergerak lancar, kita akan gali lagi sampai 100 kaki (30.48 meter).

"Dalam setahun kebelakangan ini pengurusan masjid secara keseluruhan telah menyediakan sistem simpanan air terdiri daripada 15 tangki yang menelan kos kira-kira RM50,000 dan insya-Allah turut boleh dimanfaatkan penduduk setempat ketika krisis air," katanya.

Beliau berkata masjid itu mampu menampung 2,000 jemaah semasa solat Jumaat dan pihaknya pernah menyediakan air mineral untuk kegunaan jemaah mengambil wuduk selepas bekalan air habis sepenuhnya selepas diserbu penduduk yang berdepan masalah gangguan air bulan lalu.

"Jadi kali ini, kita akan buat penyusunan lebih sistematik dalam aspek pembahagian tangki untuk kegunaan penduduk dan jemaah masjid termasuk air untuk tujuan kecemasan sekiranya berlaku kematian dan sebagainya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari dari 6 pagi, 10 Januari hingga 6 pagi, 14 Januari susulan kerja pembaikan paip di Loji Rawatan Sungai Dua.
https://www.bharian.com.my/berit ... -semula-perigi-lama

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-1-2025 11:58 AM GMT+8 , Processed in 0.099101 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list