BANTU: Pasukan MOSAR membawa mangsa turun menggunakan teknik piggyback carry.
RANAU: Seorang wanita terseliuh dan bengkak pada bahagian buku lali semasa dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata kejadian jam 1.30 petang itu membabitkan mangsa warga tempatan berumur 29 tahun semasa berada di Kilometer 5.5.
“Bertindak dengan kecemasan, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) bergegas ke lokasi sebaik memperoleh maklumat daripada pihak Taman-Taman Sabah (TTS).
“Mangsa yang terseliuh di bahagian buku lali sebelah kiri tidak dapat meneruskan perjalanan diberikan rawatan awal di lokasi,” katanya.
Beliau berkata mangsa kemudiannya diangkat menggunakan teknik piggyback carry dan pengusung menuju ke Timpohon Gate.
Menurutnya mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Katanya operasi keseluruhan ditamatkan jam 5.15 petang.
|