CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 786|Reply: 0

[Kedah] PATI kirim wang guna jalan tikus

[Copy link]
Post time 23-11-2023 10:47 AM | Show all posts |Read mode

Warga asing terpaksa menggunakan ejen dengan kadar upah RM15 setiap transaksi atau meminta bantuan rakan yang pulang secara haram ke kampung halaman untuk memberi wang kepada keluarga. – GAMBAR HIASAN

SUNGAI PETANI – Penghantaran wang ke kampung oleh warga­ asing yang masuk ke Malaysia secara sah dan mempunyai permit kerja tidak berdepan masalah berbanding dengan pekerja asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Selain menggunakan khidmat majikan untuk mengirim wang ke akaun keluarga, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan money changer berlesen.

Namun, situasi sebaliknya bagi PATI apabila mereka terpaksa menggirim wang melalui rakan yang mahu pulang ke kampung menggunakan jalan haram atau khidmat ejen.

Menurut Kriyanto, 51, ­kebiasannya dia mengirim wang kepada keluarga di Medan, Indonesia melalui rakan yang ‘menyusup’ pulang menggunakan jalan tikus.

“Kami tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap menyebabkan semua jenis urusan termasuk pengiriman wang ke kampung terpaksa dilakukan berhati-hati bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Selama kami menggunakan cara ini tiada sebarang masalah kerana wang yang dikirim akan sampai kepada keluarga kerana telah lama mengenali rakan ter­babit,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah di negara ini lebih 15 tahun.

Menurutnya, dengan pendapatanya di sini, dia mampu me­ngirim wang seba­nyak RM800 dua bulan sekali untuk kegunaan ahli keluarganya.

Sementara itu, pembantu kedai makan yang mahu dikenali sebagai Saihah, 49, dari Kampung Panarik di Patani, Thailand berkata, dia dan beberapa rakan sekerjanya menggunakan khidmat ejen setiap kali mahu mengirim wang ke kampung.

“Biasanya ejen ini merupakan penduduk tempatan yang berkahwin dengan warga Thailand yang akan bertindak menjadi orang tengah untuk urusan pengiriman wang.

“Ejen akan menggunakan akaun bank Rung Thai, Bangkok Bank atau Thai Phanik Bank, manakala keluarga dijangka menerima duit yang dikirim dalam tempoh dua hari selepas itu,” katanya yang telah berada di negara ini lebih 20 tahun.
Pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini boleh menghantar wang kepada keluarga melalui majikan mahupun money changer.

Cerita Saihah, ada di antara mereka berurusan dengan ejen melalui telefon dan memasukan wang yang mahu dikirim secara dalam talian.

“Walaupun tidak mengenali ejen berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang masalah ­seperti duit tidak sampai dan setiap ejen diberi upah antara RM15 hingga RM20 untuk setiap transaksi,” ujarnya.

Kata Saihah, bagi rakannya yang mempunyai dokumen perjalanan lengkap, mereka boleh boleh menyampaikan sendiri kepada keluarga semasa pulang membuat pengesahan visa pelancong sebulan sekali.

Sementara itu, di Kota Bharu, Abu Abaaya, 45, berkata, dia mengirim wang untuk ibu bapa tiga bulan sekali dengan jumlah RM3,600 menerusi majikannya yang membantu urusan penghantaran wang berkenaan.

Menurutnya, dia yang merupakan etnik Rohingya terpaksa mengikat perut setiap bulan kerana gaji yang diperoleh untuk keluarga di Myanmar.
“Saya memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dan simpan RM1,200 untuk lima adik yang masih belajar.

“Sudah lebih 10 tahun saya menetap di Malaysia. Pendapatan diperoleh juga tidak sama, ada kalanya sikit, kadang-kadang banyak,” ujarnya.

Abu memberitahu, dia hanya membelanjakan RM300 selama sebulan dan terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke tempat kerjanya dari rumah sewa di Kubang Kerian di sini.

“Saya menyewa rumah bersama lima rakan senegara seba­nyak RM500 sebulan. Kami juga berkongsi membayar bil elektrik dan air.

“Jika tidak cukup wang, saya akan mengambil wang pendahuluan gaji. Saya dan rakan-rakan hanya memasak di rumah untuk berjimat,” ujarnya.

Tambahnya, dia sudah 10 tahun tidak pulang ke negaranya dan berhajat untuk berkahwin di Malaysia.

https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... g-guna-jalan-tikus/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

8-5-2024 05:19 AM GMT+8 , Processed in 0.571994 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list