PERIKSA: Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran.
KOTA KINABALU: Penghuni di sebuah apartment di Manggatal, di sini panik selepas sebuah kediaman di tingkat bawah terbakar, tengah malam semalam.
Kejadian itu turut menyebabkan sebahagian penghuni bergegas turun ke tingkat bawah manakala penghuni lain turut menjerit meminta penghuni lain keluar dari rumah masing-masing.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.05 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah terbakar 30 peratus di bahagian ruang tamu.
"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pengawal keselamatan dengan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk dan air," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, operasi terkawal pada 12.54 tengah malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
"Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemeriksaan dan mengambil maklumat di lokasi.
"Operasi ditamatkan pada 1.11 pagi," katanya.
|