RAWAT: Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi.
RANAU: Seorang warga emas mengalami kecederaan selepas tersepit di bawah kenderaan pacuan empat roda yang meluncur secara tiba-tiba di Kampung Kimolohing di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku apabila mangsa berumur 68 tahun berada berhampiran kenderaan berkenaan.
“Menurut saksi, semasa kejadian mangsa sedang memasukkan barang ke dalam trak kereta.
“Kenderaan itu kemudian meluncur bergerak ke belakang secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tersepit di bawah kenderaan itu,” katanya.
Beliau berkata sepasukan pegawai dari BBP Ranau yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas iaitu airbag.
“Mangsa diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 7.10 pagi selepas memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi,” katanya.
|