SUNGAI PETANI: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan mati dalam sebuah bilik sewa, rumah dua tingkat di Bandar Puteri Jaya di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 29 tahun itu dipercayai tinggal di bilik sewa berkenaan bersama kakaknya yang berusia 36 tahun sejak Disember tahun lalu.
Namun kejadian itu disedari kakak mangsa yang baru pulang dari tempat kerja sebelum mendapati adiknya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa yang mengalami masalah dalam pembelajaran bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian dan berkata, polis menahan seorang suspek serta direman lima hari bagi membantu siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat. Setakat ini kes masih dalam siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.